2016-GMS_Toyota-C-HR_07-e1456830734756

Setelah ceritanya ‘bocor’ pada hujung minggu lalu, akhirnya Toyota C-HR diperkenalkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2016 yang mula berlangsung hari ini. Ini merupakan kemasukan pembuat kereta terbesar di dunia di dalam pasaran crossover segmen-B, sekali gus bakal memberikan persaingan yang sengit buat Honda HR-V, selain Nissan Juke dan Mazda CX-3.

Tampil dengan imej yang mengagumkan, C-HR atau pun Coupe High Rider ini lebih kurang menyamai model konsepnya yang pernah dipertontonkan di Paris Motor Show 2014 dan Frankfurt Motor Show 2015, tetapi sedikit kurang agresif. Gril yang lebih nipis digabungkan dengan kluster lampu utama yang besar (unit LED sepenuhnya dengan lampu arah dan indikator jujukan), tingkap sisi yang kecil dan lampu belakang berbentuk-C (dengan pilihan penchayaan LED) cukup menyerlahkan gayanya.

Seperti mana HR-V, SUV crossover lima-pintu ini juga mempunyai pemegang pintu belakang yang terselindung, ditempatkan di bahagian atas sudut hujung pintu. Direka di studio Calty yang terletak di California, C-HR ini turut dibangunkan dengan bermodulkan Toyota New Global Architecture (TNGA), iaitu model kedua Toyota yang menggunakan platform yang sama selepas Prius.

Berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm, C-HR ini 55 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah berbanding HR-V, dengan 30 mm jarak roda yang lebih panjang berbanding pesaingnya. Berbanding dengan Mazda CX, C-HR ini lebih panjang sebanyak 75 mm, 30 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi, dengan jarak roda 70 mm lebih panjang.

2016-GMS_Toyota-C-HR_08-e1456830743761

Pemanduan dinamik bersama kawalan daripada segmen-C turut diadaptasikan hasil penggunaan platform yang baharu dan juga pusat graviti yang lebih rendah, membolehkan C-HR ini “membawa kelajuan melalui sudut tersendiri dengan kawalan badan yang cemerlang dan pengemudian yang lebih mantap.”

Terdapat tiga penjana kuasa yang ditawarkan bagi C-HR ini, termasuklah versi hibrid dari model Prius baharu, dengan enjin 1.8 liter yang mempu menyalurkan kuasa sehingga 122 PS dengan penjimatan haba lebih dari 40%, sama seperti Prius. Emisi karbon dioksida pula dicatatkan di bawah 90 gram bagi setiap kilometer.

Turut ditawarkan dengan enjin 8NR-FTS 1.2 liter empat-silinder yang turut diperkenalkan pada model facelift Auris, dengan kuasa 115 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 185 Nm antara 1,500 dan 4,000 rpm. Ia dipadankan dnegan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT, dengan pacuan dua-atau empat-roda.

Selain itu, varian 2.0 liter CVT turut ditawarkan, mungkin sama seperti enjin Corolla Altis iaitu 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder dengan kuasa 147 PS/187 Nm. Adakah ini juga akan ditawarkan untuk pasaran kita, bagi menyaingi HR-V 1.8 liter dan CX-3 2.0 liter?