Toyota_Vios-1

Dalam kebanyakan kereta produksi yang dipamerkan di Bangkok Motor Show 2016, ternyata Toyota Vios 2016 antara yang kurang mendapat perhatian, namun tidak bermakna ia tampil kurang menarik. Sebenarnya Vios baharu ini telah menampilkan banyak perubahan yang signifikan walau pun kurang disedari khalayak.

Bagi pasaran Thai, Vios 2016 menerima padanan enjin dan kotak gear yang kedua-duanya baharu. Dengan enjin baharu 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i yang boleh menggunakan bahan api bio E85, ia mampu memberikan kuasa yang sama dengan model Vios berenjin 1NZ-FE yang kini berada di pasaran kita, iaitu 108 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm (kurang 1 Nm) pada 4,200 rpm. Pasaran lain pula dijangka menerima enjin biasa 2NR-FE Dual-VVTi tanpa keupayaan E85, seperti mana pada model facelift Avanza.

Enjin baharu pula sepatutnya mampu memberikan pemanduan yang lebih jitu di samping penggunaan bahan api yang lebih efisien, terutamanya kotak gear automatik empat-kelajuan telah digantikan dengan transmisi CVT auto tujuh-kelajuan. Manakala kotak gear manual lima-kelajuan telah digugurkan untuk pasaran Thai.

Bagi aspek keselamatan pula, ia juta telah dipertingkatkan. Beg udara masih kekal dengan dua unit tetapi model 2016 ini juga menampilkan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) selain ABS dengan EBD dan bantuan brek.

Dengan enjin dan CVT baharu termasuk menampilkan VSC, Vios 2016 di Thai ditawarkan pada harga bermula 599,000 baht (RM68,476) untuk varian J, manakala Exclusive pula berharga 719,000 baht (RM82,194).

Di mana pertambahan elemen pada varian spesifikasi tertinggi, Exclusive, menampilkan kit badan baharu termasuk lampu nyalaan siang LED, tempat duduk balutan kulit berwarna hitam, papan pemuka dan kekemasan pintu berwarna kelabu, roda stereng dan tuil gear berwarna hitam pekat, sistem hiburan T-Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci dan sambungan Bluetooth.