Toyota_Corolla_XSE_2017_1

Toyota Corolla 2017 facelift telah tiba di pasaran Amerika Syarikat (USA) dengan membawakan beberapa perubahan kosmestik dan juga pertambahan kit keselamatan standard.

Kini varian L, LE dan LE Eco menerima elemen tambahan standard termasuk kamera belakang dan lampu utama bi-LED. Bagi varian SE, XSE dan XLE pula dipadankan dengan lampu utama LED terkini serta rekaan kabin yang dipertingkatkan dan juga sistem bunyi yang lebih baik.

Dua warna luaran baharu juga telah ditambah pada barisan Corolla 2017 ini dan gril hadapannya juga kelihatan lebih agresif. Varian XSE pula ditampilkan dengan rim yang lebih sporty, lampu belakang yang agak gelap dan spoiler belakang agak halus.

Corolla 2017 spesifikasi USA ini juga bakal menerima Toyota Safety Sense-P dengan kit keselamatan standard termasuk lampu tinggi automatik, kawalan kelajuan radar dinamik, amaran lencongan lorong (dengan bantuan stereng) dan sistem pra-pelanggaran bagi fungsi

Untuk hiburan pula, model facelift ini menerima Entune Audio dan Bluetooth versi USA. Malah ia turut menerima skrin bersaiz tujuh-inci (berbanding 6.1-inci pada model terdahulu) bagi pilihan Entune Audio Plus dan Entune Premium Audio System.

Namun difahamkan, tiada sebarang perubahan mekanikal pada bahagian bawah hud, ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter empat-silinder dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan dan dengan automatik empat-kelajuan.

Bagi meraikan ulang tahun ke-50 di sana, Toyota turut menghadirkan varian istimewa bagi Corolla iaitu Corolla 50th Anniversary Edition, yang berdasarkan model Corolla SE 2017. Hanya 8,000 unit sahaja akan diproduksi.

Ia menerima sedikit sentuhan yang berlainan dan istimewa. Ini termasuklah padanan rim aloi bersaiz 17-inci dengan kekemasan kelabu gelap, lampu utama LED yang diolah semula, logo 50th Anniversary dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Perubahan lebih ketara terbentang pada bahagian kabinnya termasuk panel papan pemuka dan panel pintu dengan sentuhan warna Black Cherry, karpet lantai yang unik dan jahitan kontras Black Cherry.

Varian istimewa ini turut didatangkan dengan skrin pelbagai-informasi untuk pemandu bersaiz 4.2-inci dan paparan skrin sesentuh tujuh-inci untuk hiburan dengan audio Entune dan sistem navigasi. Toyota turut menawarkan bumbung panoramik dengan kos tambahan.

Corolla 50th Anniversary Edition ditawarkan dengan pilihan warna Blizzard Pearl, Classic Silver, dan Black Cherry. Ia bakal mula dipasarkan di negara berkenaan pada musim luruh ini.

Toyota Corolla XSE 2017

Toyota Corolla Edisi Ulangtahun ke-50