Selepas secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Indonesia minggu lalu di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016, iklan rasmi untuk Honda Civic 2016 juga turut disiarkan.

Video yang bertajuk ‘Be Dominant. I am Civic’ yang berdurasi 60 saat tersebut dengan iringan muzik yang mendebarkan, turut memaparkan ciri-ciri yang terdapat pada sedan segmen-C ini termasuk lampu LED penuh, penghidup enjin kawalan jauh, paparan instrumen TFT LCD dan juga tarikan utama, enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menjana 173 PS dan tork 220 Nm.

Di Indonesia, Civic ditawarkan dengan hanya varian tunggal 1.5L turbo. Tidak seperti di Thailand dan Filipina, tiada varian asas 1.8 liter SOHC i-VTEC ditawarkan di Indonesia. Ia juga diberikan lencana “VTEC Turbo” berbanding model untuk pasaran Thailand yang diberi lencana “RS” untuk varian tertinggi. Ia juga dilengkapi dengan unit infotaimen berasaskan sistem Android dengan kebolehan Mirrorlink berbanding hanya versi tingkat taraf sistem Display Audio.

Video ini juga membayangkan, tidak kira siapa pun anda, dari ahli sukan hinggalah ahli korporat, anda akan sentiasa sepadan dengan Civic generasi ke-10 ini.