Pada Bangkok Motor Show 2016 yang lalu, Toyota Motor Thailand telah melancarkan barisan model Toyota Hilux Revo TRD Sportivo. Model tersebut dilengkapi dengan aksesori-aksesori asli dari TRD merangkumi bahagian luaran dan dalaman. Manakala untuk varian tertinggi dalam barisan model Hilux TRD Sportivo ini, ia turut dilengkapi dengan sistem suspensi yang ditala semula menerusi pemadanan penyerap hentak asli TRD. Untuk membuktikan kebolehan Hilux Revo TRD Sportivo ini, Toyota Thailand membawanya ke litar untuk diuji.

Trak pikap ini diuji di Litar Antarabangsa Chang yang terletak di daerah Buriram Thailand. Sebagai kayu ukur, Toyota tidak membawa sedan atau hatchback biasa, tetapi mereka membawa sebuah kereta lumba sebenar Toyota 86 yang berlumba dalam kejuaraan Endurance RAAT Thailand untuk diuji bersama Toyota Hilux Revo Prerunner 2X4 2.4 TRD Sportivo ini.

Video tersebut menunjukkan Hilux diuji dalam beberapa situasi pemanduan termasuk meredah selekoh-S, mengambil selekoh berpasir dengan kelajuan tinggi, dipandu menerusi laluan slalom dengan kelajuan 80 km/j dan juga meredah selekoh yang basah. Bagaimana trak pikap ini beraksi? anda perlu tonton sendiri aksinya menerusi video ini.

Ketika pengguna di Thailand sedang menikmati trak pikap ini di sana, kita di Malaysia masih lagi ternanti-nanti pelancaran Toyota Hilux serba baharu ini. UMW Toyota sudah pun mengumumkan tempahan untuk Hilux baharu ini telah dibuka, dengan harga permulaan dari RM89,900 hingga RM133,900 (harga atas jalan dengan insuran) untuk varian tertinggi.

Toyota Hilux genersi kelapan ini dibina diatas kerangka Frame with Integrated Rigidity Mechanism (FIRM) yang lebih kuat dan juga bahagian dalaman yang diberikan sentuhan lebih premium. Ia dikuasakan dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu Toyota iaitu enjin 1GD-FTV 2.8 liter dengan 177 hp dan tork 450 Nm, dan enjin 2GD-FTV 2.4 liter dengan 150 hp dan tork 400 Nm, serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini.

GALERI: Toyota Hilux TRD Sportivo di Thailand