2017 Acura NSX

Hennessey Performance, jenama yang sinonim dengan dunia talaan Muscle Car Amerika, akan menala supercar baharu dari Jepun – Honda NSX, atau lebih dikenali sebagai Acura NSX untuk pasaran Amerika.

Seperti yang diumumkan di laman web mereka, Hennesey akan menawarkan banyak peralatan prestasi tinggi untuk talaan enjin 3.5 V6 twin turbo Honda NSX termasuk komponen untuk sistem turbo, ekzos keluli tahan karat, intercooler, roda aloi lebih ringan dan pelbagai lagi. Tetapi, setakat ini pengumuman tersebut belum lagi disertakan dengan perincian menyeluruh berkenaan komponen-komponen tersebut.

Dalam keadaan standard, Acura NSX dijual pada harga bermula USD$156,000 (RM609,927) untuk pasaran Amerika Syarikat. Ia dijana oleh enjin V6 3.5 liter turbo berkembar berkuasa 500 hp dan tork maksima 550 Nm dan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 47 hp dan tork maksima 148 Nm. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik sembilan-kelajuan. Bukan itu sahaja, sepasang motor elektrik berkuasa 72 hp/146 Nm dipadankan pada kedua-dua roda hadapan, menjadikan NSX supercar pacuan semua roda dengan jumlah kuasa terkumpul 573 hp dan tork maksima 645 Nm.

Produksi NSX telah pun bermula April ini di kilang khas yang dibina di Marysville, Ohio. Dibina secara ekslusif sepenuhnya di dalam fasiliti tersebut, NSX menampilkan pelbagai teknologi terkini termasuk kerangka badan aluminium diperkuat yang dibina dengan pelbagai material.

GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015