Toyota-Corolla-Axio-50th-Anniversary-edition-1-e1463115764805

Sebagai meraikan ulang tahun yang ke-50 Toyota Corolla iaitu dilahirkan pada tahun 1966, model edisi istimewa Toyota Corolla Fielder dan Axio telah pun dilancarkan di Jepun.

Bagi Toyota Corolla Axio, model edisi istimewa ini menampilkan paten berbintik-bintik baharu dengan gril haksagon yang rendah di samping kekemasan gelap pada gril atas, lampu utama LED Bi-Beam, lampu belakang LED, pelindung lumpuh (mudguard) sisi dan logo belakang. Selain itu, ia turut didatangkan dengan rim aloi 16-inci, sementara varian pacuan empat-roda pula rim aloi 15-inci.

Di dalamnya, Corolla Axio didatangkan dengan tempat duduk balutan kombinasi kulit sintetik dan fabrik. Sementara jahitan kontras berwarna putih turut boleh didapati pada tempat duduk, warna hitam pekat pada roda stereng dan tombol gear.

Bagi Toyota Corolla Fielder, elemen istimewa yang ditampilkan termasuklah garisan merah pada gril haksagon dan lampu utama LED Bi-Beam. Di dalamnya, ia menerima tempat duduk hadapan upholstery dengan kombinasi fabrik dan kulit sintetik. Sementara jahitan kontras berwarna merah dan kekemasan merah turut ditampillkan pada corong udara dan dail instrumen.

Bagi penjana kuasanya, Corolla Fielder dan Axio edisi istimewa ini ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter atau hibrid 1.5 liter. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear automatik Super CVT-i. Harga bagi Corolla Fielder model ulang tahun ini bermula dua juta yen hingga 2.4 juta yen (RM75k-RM89k) dan Corolla Axio pula dari 1.9 juta yen hingga 2.3 juta yen (RM73k-RM88k).

GALERI: Toyota Corolla Axio edisi ulangtahun ke-50

GALERI: Toyota Corolla Fielder edisi ulangtahun ke-50