lotus-apx

Pembinaan bagi kilang pembuatan SUV bagi Lotus yang dikendalikan oleh Proton mungkin bakal dibina pada akhir tahun ini di Quangzhou, tenggara wilayah Fujian, China.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Quanzhou, Wang Ke Si, berkata, Quangzhou dipilih sebagai pangkalan pembuatannya kerana terdapat kemudahan sokongan automotif yang kukuh. Malahan kerajaan tempatan turut memberikan bantuan serta sokongan sepenuhnya bagi merealisasikan perkara ini, laporan Bernama.

Katanya lagi, dengan pelaburan sebanyak 10 bilion yuan, ia akan meliputi kos permbinaan kemudahan pembuatan, ibu pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan.

“Kilang tersebut akan memasang SUV Lotus yang akan dijual di seluruh China serta negara Asia yang lain. Ia masih dalam proses perancangan. Setakat ini kajian penggunaan tanah telah selesai dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada kementerian, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional (NDRC) serta suruhanjaya berkaitan lain,” kata Wang kepada kepada kumpulan wartawan Asia Tenggara yang mengikuti lawatan media selama tujuh hari ke Beijing, Tianjian, selatan Suzhou dan Quanzhou.

Pembinaan kilang SUV Lotus ini adalah hasil perjanjian usaha sama yang ditandatangani antara Proton, Lotus Group International Ltd dan Goldstar Heavy Industrial Co Ltd pada April tahun lepas. Di mana menerusi usaha sama ini, ia akan mengeluarkan dan menjual kereta penumpang berjenama Lotus serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkaitan dengan produknya di China.

Proton dan Goldstar dilaporkan akan memegang 50% daripada modal berdaftar. Berdasarkan pelan perniagaan awal dipersetujui bersama yang meliputi tempoh 2015 hingga 2030, syarikat menjangkakan jumlah pelaburan sebanyak 10 bilion yuan (RM5.84 bilion).