Honda-Flood-Relief_BM

Berikutan banjir kilat yang melanda Lembah Klang minggu lalu, Honda Malaysia (HM) kini mengumumkan Program Bantuan Banjir mereka untuk kenderaan-kenderaan Honda yang terjejas dalam bencana alam berkenaan.

Program yang bermula semalam sehingga 10 Julai akan datang ini menawarkan diskaun sehingga 50% untuk alat ganti Honda tulen kepada pemilik Honda. Pelanggan yang mahu mendapatkan pakej bantuan ini perlulah membuat laporan polis terlebih dahulu dan kemudian bawa polisi insuran ke pusat servis Honda bertauliah dalam tempoh masa program ini berjalan.

Walau bagimanapun, tawaran ini hanya sah untuk kenderaan yang dibeli dari pengedar-pengedar sah Honda Malaysia sahaja dan hanya alat ganti yang rosak kerana banjir sahaja diberikan diskaun 50% tersebut. Diskaun tersebut juga tidak diberikan kepada mereka yang menggunakan perlindungan insuran untuk memperbaiki kerosakan. Semua alat ganti tulen yang ditukar turut diberikan waranti enam bulan atau 10,000 km (yang mana sampai dahulu).

Anda juga dinasihatkan untuk tidak cuba menghidupkan kenderaan anda, buka pintu secara manual, elakkan dari menggunakan alat kawalan jauh atau peralatan elektrikal lain dalam kenderaan jika terperangkap di dalam banjir. Kemudian, cabut terminal negatif bateri kenderaan anda. Buat laporan polis terlebih dahulu dan hubungi syarikat insuran anda sebelum menunda kereta ke bengkel.

Selain Honda, Nissan dan Perodua juga menawarkan pakej bantuan khas untuk pemilik jenama-jenama berkenaan yang terjejas dalam banjir kilat ini.