Kia_Sorento_Petrol_HS_Ext-2

Walaupun Kia Sorento 2016 hanya akan dilancarkan esok, pengedar di Lembah Klang sudah pun mula mempamerkan SUV tujuh-tempat duduk berkenaan, lengkap dengan spesifikasi kesemua varian. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model generasi UM yang bakal menggantikan generasi XM sebelum ini akan ditawarkan dalam varian 2.2 diesel LS, bersama dengan varian petrol 2.4 MS dan 2.4 HS.

Sorento ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu sama ada enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel yang berkuasa 200 PS pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm, atau enjin petrol 2.4 liter MPI CVVT berkuasa 172 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 224 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dari enjin dihantar kesemua roda menerusi sistem pacuan empat roda dan kotak gear enam-kelajuan automatik.

Model 2.2 LS dijangka akan dijual pada harga RM158k, meletakkan ia sedikit mahal berbanding varian asas berkuasa petrol pesaing sekelasnya. Ia menerima lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17-inci, sistem kunci pintar serta butang penghidup enjin.

Kia_Sorento_Petrol_HS_Ext-17

Pada bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan cermin pandang belakang anti-silau, penghawa dingin automatik dua zon beserta ionizer, liang penghawa dingin pada tempat duduk barisan kedua, penderia parkir hadapan dan belakang serta paparan pelbagai informasi Supervision dengan skrin 3.5-inci. Walau bagaimanapun, kesemua tempat duduk hanya dibalut dengan fabrik dan tiada kamera undur disediakan untuk SUV bersaiz besar ini. Ia turut tidak dilengkapi dengan hubungan Bluetooth.

Varian 2.4 MS yang dijangka akan dijual pada harga RM168k, dilengkapi dengan roda aloi dengan jejari-Y berdiameter 19-inci, lampue belakang LED, antena sirip yu, cermin hadapan acoustic, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh serta hubungan Bluetooth, kamera undur, tempat duduk elektrik larasan lapan-hala dengan sokongan lumbar elektrik pada bahagian pemandu, upholstery balutan kulit, penghadang cahaya matahari barisan-kedua, penghembus penghawa dingin berasingan untuk tempat duduk barisan ketiga, pintu tailgate berkuasa elektrik dan skrin untuk kargo belakakng.

Kesemua ciri tadi turut dilengkapi pada varian tertinggi 2.4 HS dengan tambahan lampu hadapan xenon adaptif, roda aloi krom berdiameter 19-inci, Bantuan Parkir, dan paparan pelbagai info serta meter kelajuan dengan skrin Supervision penuh tujuh inci. Varian ini dijual pada jangkaan RM178k.

Untuk keselamatan, kesemua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS serta EBD dan Bantuan Brek (BA), kawalan kestabilan, sistem pantauan tekanan tayar serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.