Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menangkap sembilan orang Ulat Parkir di tempat berasingan pada operasi khas yang dijalankan Sabtu lalu, lapor Bernama.
Operasi bersepadu yang turut disertai oleh pihak polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen tersebut dijalankan di lapan lokasi sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dan satu lagi di Shah Alam. Kawasan bandar yang terlibat termasuk Kampung Baru, Jalan Medan Tuanku, Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 dan Jalan Ampang. Operasi yang dijalankan di Shah Alam adalah di kawasan Uptown Seksyen 24.
Tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah, manakala seorang suspek lain adalah warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan. Mereka yang ditangkap berumur antara 28 hingga 53 tahun.
Beliau dilaporkan turut berkata risikan dijalankan JPJ selama tiga hari dan aduan orang ramai itu mendapati mereka (ulat parkir) mengenakan bayaran parkir haram bermula RM5 hingga RM15 di kawasan terlibat. Kesemua suspek diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan direman selama tiga hari.
“Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dan Jalan Duta pada Isnin ini,” kata beliau.
Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak bayaran daripada mana-mana orang berkenaan penjagaan kenderaan bermotor.
Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.