160527-02-02-1200x800-e1464347569262_BM

Setelah versi standard Nissan GT-R facelift 2017 diperkenalkan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 hujung Mac lalu, kini penala rasmi Nissan iaitu Nismo memperkenalkan pula Godzilla baharu versi mereka. Nissan GT-R Nismo facelift 2017 ini diberikan sedikit peningkatan pada sistem suspensi untuk pengedalian lebih jitu dan sentuhan semula pada rekaan bahagian luaran dan dalaman bagi memberi imej sebuah model dari Nismo.

Pada bahagian hadapan, jentera sport ini menerima gril berbentuk V-motion yang lebih besar dan membolehkan lebih banyak udara masuk ke bahagian ruang enjin tanpa mengorbankan prestasi aerodinamiknya. Liang sirip pada sisi bampar baharu turut meningkatkan downforce dan menghalakan angin ke ruang roda bagi meningkatkan lagi tahap aerodinamiknya. Sepasang tip ekzos berkembar yang berbentuk empat segi menggantikan tip ekzos berbentuk oval sebelum ini. Keseluruhan pakej aerodinamik tersebut memberikan daya downforce paling tinggi pada sebuah kereta buatan Nissan setakat ini.

Model talaan Nismo ini menerima rombakan sepenuhnya pada bahagian dalaman. Berbanding GT-R standard yang menampilkan tema yang lebih mewah dan premium, model Nismo ini menampilkan rekaan yang berasaskan dari mana ia bermula iaitu litar lumba. Papan pemuka, roda stereng, perehat tangan tengah kesemuanya telah menerima balutan Alcantara untuk memberikan imej sebuah kereta lumba sebenar. Tempat duduk Recaro yang dibalut dengan kulit diambil terus dari Nismo GT-R terdahulu.

Sistem infotainmen baharu dengan skrin sesentuh lapan-inci bersepadu dengan sistem navigasi. Butang kawalan audio yang sebelum ini berjumlah 27 unit dikurangkan kepada hanya 11 unit. Suis kawalan Display Command yang dilengkapkan pada konsol terowong transmisi gentian karbon membolehkan kawalan untuk sistem infotaimen menjadi lebih mudah.

GT-R facelift standard sememangnya mempunyai kerangka asas yang telah diperteguhkan. Untuk model ini, jurutera Nismo telah menala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng membolehkan pengendalian 2% lebih baik pada ujian masa laluan slalom dan prestasi meredah selekoh berbanding model sebelum ini. GT-R Nismo 2017 turut menerima sistem suspensi Damptronic dari Bilstein seperti model sebelum ini bagi membolehkan kuasa dari enjin disalurkan sepenuhnya ke permukaan jalan.

Tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin. GT-R talaan Nismo ini masih menggunakan enjin VR38DETT V6 3.8 liter dengan dua unit pengecas turbo berdiameter besar spesifikasi GT3 high flow. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa 600 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 652 Nm bermula 3,600 hingga 5,600 rpm, dialirkan ke kesemua roda melalui sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro dan kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.