Proton-Preve-Chile-Launch_BM

Sebelum ini kami melaporkan Proton akan kembali semula ke pasaran Chile dengan eksport permulaan dimulakan oleh Preve. Sekarang, sedan segmen-C tersebut secara rasminya telah dilancarkan di negara Amerika Selatan berkenaan oleh Andes Motor, subsidiari oleh Kaufmann Group.

Tiga varian Preve versi pemanduan sebelah kiri ditawarkan untuk pasaran Chile iaitu Standard, Executive dan Premium. Varian Standard dan Executive dibekalkan dengan enjin Campro 1.6 liter IAFM+ berkuasa 107 hp dan tork 150 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Varian Premium pula dijana oleh enjin Campro CFE 1.6 liter Turbo berkuasa 138 hp dan tork 205 Nm, dipadankan bersama kotak gear CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya. Proton dan Andes mendakwa, “DNA Lotus” adalah jelas dalam dinamik pemanduan Preve.

“Dengan Andes Motor, pengedar bas, trak dan kereta mewah terbesar di Chile, bersama jaringan pengedar yang besar menyediakan jualan dan servis selepas jualan sebagai rakan kongsi kami, kami optimistik dengan kemasukan semula ke pasaran Chile akan berjaya,” kata Datuk Ahmad Fuaad Kenali, CEO baharu Proton.

proton-showroom-chile_BM

“Kami teruja untuk menerima kereta Proton kembali ke pasaran Chile selepas eksport terakhirnya ke negara kami pada tahun 1998 yang lalu. Kami percaya kerjasama ini akan lebih kukuh untuk kedua-dua jenama, membolehkan Andes Motor mula bertapak untuk menembusi pasaran kereta penumpang biasa dan membolehkan Proton meneroka pasaran yang besar. Langkah yang dimulakan dengan pengenalan Proton Preve melambangkan permulaan yang bagus untuk kedua-dua syarikat,” kata Alexander Kohler, CEO Anded Motor.

“Preve merupakan salah satu sedan Proton yang dinamik menawarkan produk dilengkapi prestasi, keselesaan, penggayaan, kualiti pembinaan dan memudahkan dengan penarafan standard keselamatan lima-bintang. Sebagai tambahan, kami juga memandang kehadapan ketibaan Proton Exora dan Proton Saga ke Chile pada masa terdekat,” tambah Kohler.

Pernah dilaporkan sebelum ini Proton bercadang untuk memasuki pasaran tersebut sejak perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani antara Malaysia dan Chile pada Februari 2012, memberikan syarikat tersebut pengecualian duti import sebanyak 6%. Proton telah menghantar sejumlah 50 unit Preve ke San Antonio Mac lalu, di mana kumpulan pertama dari 1,000 unit yang diharapkan akan terjual di Chile tahun ini.