2016-Honda-Civic-spotted-trailer-2-e1465185480163

Honda Malaysia bakal melancarkan model generasi ke-10 Civic di Malaysia pada 9 Jun ini. Baru-baru ini, ia mula kelihatan sedang diangkut oleh trailer untuk diedarkan ke bilik pamerannya. Terima kasih kepada pembaca paultan.org Norazalan Kasim dan Ken Lim kerana mengirimkan foto ini.

Sama dengan foto spyshot yang pernah disiarkan sebelum ini, unit yang dibawa oleh trailer ini adalah bagi varian asas 1.8L dan Turbo. Ia jelas kelihatan daripada rekaan roda dengan gaya shuriken (sama seperti Civic 1.8 EL spesifikasi Thai) dan juga warna Modern Steel Metallic, bagi model 1.8L. Foto yang lebih dekat itu juga menampakkan pemegang pintu dengan warna yang sama dengan badannya.

Bagi varian Turbo, ia dipadankan dengan rim aloi lima-jejari 17-inci dan pemegang pintu krom. Malah turut menampilkan lampu utama LED penuh dan lampu kabus hadapan LED.

Malah Honda Malaysia juga telah memulakan ‘count down’ sebagai kemuncak menantikan debaran pelancaran Civic 2016. Semalam, Honda Malaysia telah memuat naik foto terbaharu di Facebook rasmi mereka dengan memaparkan fungsi penahan brek bersama kapsyen, “the dream ride arrives in 4 days.”

Sebelum ini, foto fungsi alat kawalan penghidup enjin, enjin 1.5 liter VTEC Turbo, fungsi kunci automatik ‘walk-away’ dan panel instrumen digital turut dimuat naikkan. Civic baharu ini juga akan mula berada di semua bilik pameran Honda di seluruh Malaysia pada 11 Jun ini.

Semakin tidak sabarkan? Sementara menantikan 9 Jun ini, sila baca ulasan pandu uji Civic 2016 yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini. Pastinya ia bakal menambahkan keterujaan anda menantikan model ini dan mungkin pilihan terbaik untuk anda memilikinya.

Debaran kemuncak pelancaran Honda Civic 2016