2016-Honda-Accord-Hybrid-Thailand-launch-1_BM

Honda Thailand secara rasminya telah melancarkan Honda Accord Hybrid, hanya beberapa bulan selepas model kemaskini berkenaan membuat kemunculan sulungnya pada April lalu. Dua varian ditawarkan untuk pelanggan di Thailand iaitu 2.0 Hybrid dan 2.0 Hybrid Tech, dan dijual pada harga 1,659,000 baht (RM192,691) dan 1,849,000 baht (RM214,782).

Accord Hybrid 2016 dijana oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder i-VTEC lejang Atkinson berkuasa 145 hp/175 Nm dan disokong dengan dua motor elektrik sistem i-MMD baharu, yang dijana oleh pek bateri lithium-ion 1.3kWh, dengan kuasa maksima 184 hp/315 Nm. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan oleh penjana Accord ini ialah 215 hp, dan kesemua kuasa berkenaan dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Unit janakuasa ini juga hadir dengan empat mod operasi.

Dalam mod “Hybrid Drive”, enjin petrol akan memacu motor elektrik kedua/generator untuk mengecas pek bateri lithium-ion yang lebih kompak, manakala motor pendorong pula berperanan memacu roda hadapan. Mod “Engine Drive” pula akan mengaktif enjin petrol untuk memacu sedan ini, menggunakan mekanisma klac pengunci, roda hadapan akan dipacu dengan enjin petrol dan motor elektrik.

2016-Honda-Accord-Hybrid-Thailand-launch-2_BM

Untuk mod “EV Drive” pula akan mengaktif pemanduan elektrik sepenuhnya dalam jarak dekat (enjin petrol dimatikan) dengan kelajuan maksima 120 km/j. Mod yang terakhir iaitu mod “Sport Drive” adalah untuk mereka mahukan pemaduan yang sporty berbanding penggunaan bahan api yang cekap.

Secara visual, Accord Hybrid baharu ini mempunyai penampilan luaran yang sama dengan Accord facelift. Walau bagaimanapun, model hibrid ini dilengkapi dengan lencana istimewa pada badannya, motif roda aloi yang berbeza serta unsur kebiruan pada lampu hadapan LED dan lampu belakangnya. Empat warna ditawarkan iaitu Grey Modern Steel, Lunar Silver, White Orchid Pearl dan Black Crystal Pearl, di mana dua warna terakhir memerlukan pelanggan membayar harga yang sedikit tinggi.

Sama juga pada bahagian dalaman, Accord Hybrid dilengkapi dengan kemasan yang sama dengan Accord versi biasa. Ia didatangkan standard dengan tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala (dengan memori), butang penghidup enjin, paparan pelbagai informasi 7.7 inci, brek parkir elektronik, dan skrin infotainment bersaiz tujuh-inci dengan fungsi Apple Carplay, MirrorLink untuk telefon pintar serta WiFi Hotspot.

2016-Honda-Accord-Hybrid-Thailand-launch-3_BM

Yang membezakan model hibrid dengan model biasa adalah butang “EV Mode” yang terletak di bahagian kanan konsol tengah. Pelanggan juga boleh memilih tiga warna bahagian dalaman, bergantung pada warna luaran yang dipilih iaitu beige, hitam dan perang.

Untuk sistem keselamatan, sistem Honda Sensing hanya dilengkapi pada model varian tertinggi 2.0 Hybrid Tech. Sistem berkenaan terdiri daripada Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Sistem Brek Pencegah Pelanggaran (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) dengan Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Sistem Bantuan Kekal Laluan.

Honda Thailand memberikan waranti selama 10-tahun untuk bateri dan lima-tahun waranti untuk keseluruhan sistem Hybrid Honda, tanpa had perbatuan. Untuk tempoh masa terhad, Honda Thailand turut menawarkan Pakej Istimewa untuk memanjangkan tempoh waranti dengan tambahan dua tahun atau 40,000 km, dengan tempoh perlindungan keseluruhan lima tahun atau 140,000 km. Pelanggan juga ditawarkan dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun atau 100,000 km.