GALERI: Toyota Alphard 3.5 dan Vellfire 2.5 2016

Toyota_Alphard_Velfire-9

UMW Toyota telah pun melancarkan MPV flagship mereka – Alphard dan Vellfire 2016 – yang hadir dalam dua varian untuk Alphard (3.5 dan 3.5 Executive Lounge) dan varian tunggal 2.5 untuk Vellfire. ‘Adik-beradik kembar’ ini walaupun berkongsi kerangka dan sebahagian rekaan luaran serta dalaman yang sama, mereka tetap diberikan gaya karekter tersendiri.

MPV berwarna putih diatas merupakan model Alphard 3.5 manakala sebuah lagi yang berwarna ungu gelap atau nama spesifiknya Burning Black ialah Vellfire 2.5. Untuk luaran, Alphard menampilkan rekaan berkonsep “Berani dan Hebat” dengan gril besar kemasan krom seperti perisai berbentuk X dan menempatkan logo ‘heart of the snake’ pada bahagian tengah.

Gril berkenaan diapit oleh sepasang lampu hadapan LED berbentuk-J larasan automatik (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED) serta sepasang lampu kabus dua diod LED yang ditempatkan pada perumah berbentuk segi empat, di setiap sisi bahagian bawah bampar hadapan .

Vellfire pula direka dengan lebih sporty dengan menerapkan konsep “Garang dan Berani”.Muka hadapan Vellfire menampilkan gril hadapan besar dengan motif tiga bar krom tebal diapit dan diselang-selikan dengan sepasang lampu hadapan dua dek LED larasan automatik (dengan lampu membelok dan lampu nyalaan siang LED).

Tidak seperti Alphard, gril bahagian atas dan bawah Vellfire diasingkan antara satu sama lain. Sepasang lampu kabus dipadankan pada perumah yang terletak dikedua-dua hujung gril bahagian bawah berkenaan.



Toyota Alphard 3.5 (kanan), Vellfire 2.5 (kiri)

Profil sisi kedua-dua kembar ini adalah hampir seiras, dilengkapi dengan roda aloi 18-inci dan cermin pandang belakang sisi yang sama. Kedua-duanya juga menampilkan tiang-B dihitamkan, yang menurut Toyota ia adalah rekaan “kabin yang mengalir, menyerlahkan kekuatannya.”

Pada bahagian belakang, Alphard dan Vellfire berkongsi bampar dan unit spoiler dengan lampu LED bersepadu sama. Perbezaan pada kedua-duanya adalah pada lampu belakang di mana lampu belakang Alphard menampilkan lensa berwarna sementara Vellfire dilengkapi lensa lampu belakang tanpa warna dan bar kemasan krom yang direka seperti tertusuk ke kedua-dua belah lampu belakang berkenaan.

Bahagian dalaman, kedua-dua model ini berkongsi rekaan berkonsep “Avant Gorgeous” yang sama dan hanya dibezakan dengan tema warna. Alphard menerima tema warna beige dengan kemasan kayu berwarna perang, manakala Vellfire pula menerima tema warna hitam dengan kemasan kelabu pada bumbung dan trim kayu berwarna hitam.

Alphard dan Vellfire dilengkapi tujuh tempat duduk dengan bentangan konfigurasi 2-2-3. Tempat duduk barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘captain’ bersama perehat kaki Ottoman. Perehat kaki Ottoman juga dipadankan pada tempat duduk hadapan sebelah penumpang. Kedua-dua belah pintu gelangsar belakang diberikan bantuan kuasa elektrik, begitu juga dengan pintu tailgate belakang.



Toyota Alphard 3.5 (kanan), Vellfire 2.5 (kiri)

Kedua-dua MPV ini juga dilengkapi paparan pelbagai informasi TFT Optitron 4.2-inci. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem infotaimen dan navigasi dengan skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, lampu suasana 16-warna pada kabin belakang, skrin hiburan 10.2-inci (dengan kawalan jauh dan fon kepala tanpa wayar) di belakang, penghawa dingin tiga-zon berserta liang dan kawalan di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic.

Alphard serba baharu ini dijana oleh enjin 2GR-FE 3.5 liter V6 DOHC Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa 271 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 340 Nm pada takat 4,700 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter memacu roda hadapan. Manakala Vellfire pula dikuasakan dengan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder sebaris DOHC Dual VVT-i menjana 180 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 235 Nm pada takat 4,100 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, memacu roda hadapan.

Untuk model tertinggi Alphard 3.5 Executive Lounge, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit semi-aniline yang lebih premium yang boleh dipilih sama ada dengan warna hitam atau beige. Tempat duduk barisan kedua diberikan tempat duduk VIP berkuasa dengan fungsi Ottoman dan penghawa dingin. Varian ini juga dilengkapi dengan skrin infotaimen DVD-AVN lebih besar bersaiz 8-inci dihubungkan kepada 17-unit pembesar suara JBL, paparan pelbagai-visi elektro (EMV) dan roda stereng kayu VIP dengan butang fungsi kawalan kelajuan, audio, telefon dan pengecaman suara (model 3.5 hanya mempunyai fungsi kawalan kelajuan dan audio sahaja).

GALERI: Toyota Alphard 3.5

GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge

GALERI: Toyota Vellfire 2.5

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required