GIIAS 2016: Honda CBR250RR, jentera 250 cc yang ditunggu-tunggu, tinjauan pertama dari Indonesia

2016 Honda CBR250RR -1

Ini merupakan tinjauan secara langsung pertama terhadap jentera dua roda Honda CBR250RR 2016 dari pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang mula dibuka kepada media hari ini. Seperti yang sudah sedia maklum, ini merupakan model gantian kepada CBR250R silinder tunggal yang sangat ditunggu-tunggu.

Diperkenalkan buat pertama kali bagi peringkat global di Indonesia Julai lalu, Honda CBR250RR 2016 merupakan jentera sport yang hadir dengan imej dan prestasi yang menawan. Banyak pembaharuan yang tambah menyerlahkan penampilannya, sebagai contoh rekaan keseluruhan, termasuk bahagian fairing yang lebih tajam serta lampu hadapan LED dengan reka bentuk yang kelihatan garang.

Dengan enjin selari berkembar 249.7 cc sejukan cecair dengan lapan injap, ia seperti menjanjikan prestasi tunggangan yang mengkagumkan. Ia dilengkapi juga dengan teknologi ride-by-wire, serta sistem suntikan minyak PGM-FI dan juga tiga pilihan mod tunggangan. Saluran kuasa ini dilengkapkan dengan kotak gear enam kelajuan.

Didatangkan dalam varian dengan ABS dan tanpa ABS, sistem suspensi CBR250RR ini menggunakan fork jenis terbalik di bahagian hadapan daripada Showa. Di belakang, penyerap hentak tunggal dengan lima pilihan kadar tampungan boleh laras melengkapi sistem suspensi keseluruhannya. Brek depan menggunakan kaliper dua piston sementara brek belakang hanya disertakan kaliper brek piston tunggal.

Antara maklumat lain yang menarik tentang jentera terbaharu Honda ini ialah jarak antra rodanya ialah 1,389 mm, yang dijangka akan memberikan tunggangan yang jitu jika dipadankan dengan maklumat prestasinya awal tadi. Ketinggian tempat duduknya pula ialah 790 mm, memudahkan penyesuai tunggangan tidak kira saiz penunggang yang bagaimana.

Penggayaan tempat duduknya juga menerapkan sentuhan perlumbaan, dengan mengambil kira faktor aerodinamiknya. Ia lebih tirus di depan untuk memudahkan penunggang beralih kedudukan sedikit ketika ingin mengambil selekoh. Lampu LED di bahagian depan dan belakang juga memberi perubahan positif. Lampu nyalaan siangnya (DRL) turut berfungsi bersekali sebagai lampu isyarat.

Dengan rupa bentuk badan yang diberi sentuhan baharu sepenuhnya, CBR250RR turut diberi penampilan yang lebih minimal dengan penggunaan warna hitam matte, dengan pelekat grafik yang sangat minimum. Hanya ada grafik RR pada fairing, dan logo CBR kecil di belakang.

Pengedarnya di Indonesia, PT Astra Honda membawa masuk dua versi akan ditawarkan; model tanpa ABS pada harga 63-68 juta Rupiah (RM19.5K – 21K) dan model dengan ABS pada harga sekitar 69-74 juta Rupiah (anggaran RM21,500 hingga RM22,000). Model sama turut akan diperkenalkan untuk pasaran Jepun dalam tahun ini.

Adakah Honda CBR250RR 2016 ini akan turut menjengah pasaran Malaysia? Jika ya, ia akan memberi tentangan sengit kepada model-model sedia ada di dalam pasaran tempatan seperti Yamaha YZF-R25 (RM20,630), KTM RC250 (RM21,081), dan Kawasaki Ninja 250 (sekitar RM22,000). Dan, jika ini benar-benar berlaku, pasaran tempatan bagi jentera 250 cc akan bertambah rancak dengan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required