Proton_Iriz_Review_-019

Sebelum pelancaran tiga model mampu milik Proton yang akan dimulakan dengan model Persona 2016 minggu hadapan, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamed Madani Shahri telah mengeluarkan kenyataannya berhubung prestasi Proton buat masa sekarang. Dalam kenyataan berkenaan, beliau menzahirkan keyakinannya terhadap model perniagaan Proton untuk bersaing dalam peringkat global bermula dengan pelancaran Proton Perdana 2016 pada Jun lalu.

Madani menyifatkan 2016 merupakan tahun yang mencatatkan peristiwa pahit manis buat Proton bermula dengan sokongan bersyarat yang diberikan oleh kerajaan selepas mereka memohon suntikan dana. Banyak pihak melihat isu tersebut sebagai anjakan untuk Proton kerana pengeluar automotif nasional berkenaan perlu berusaha kearah perniagaan yang mampan sebagai jenama global sebelum apa-apa bentuk bantuan kerajaan diwujudkan.

Dalam bulan yang sama, kerajaan telah meluluskan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion untuk Proton membayar semula vendor mereka, dan Proton mula merencanakan pelan transformasi mereka, bermula dengan pengumuman beberapa model baharu yang akan dilancarkan pada tahun yang sama. Proton juga perlu mencari rakan strategik luar baharu untuk membawa semula jenama berkenaan diperingkat global.

Menurut Madani, Perdana 2016 yang dilancarkan Jun lalu menunjukkan simbol model perniagaan Proton yang telah dirombak semula – model yang dibina oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan Proton menggunakan platform yang dikongsi oleh pembuat automotif bertaraf global. Hasilnya, Perdana merupakan model segmen-D yang elegen diasaskan dari modus operandi perniagaan yang menguntungkan.

Madani juga menyatakan beliau sudahpun memandu uji Persona dan Saga baharu dan beliau teruja dengan prestasi model-model berkenaan, secara spesifiknya pada pengendalian, keselesaan di dalam kabin serta tahap getaran dan kekasaran yang rendah. Beliau juga menyifatkan kedua-dua model baharu ini mencerminkan personaliti dua watak utama dalam Proton buat masa sekarang iaitu CEO Proton Datuk Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed – yang berfikiran terbuka serta penuh fokus, namun tegas dan berorientasikan matlamat.

madani wm

CEO MAI itu yakin tahap konsisten Proton berkenaan kualiti mereka boleh meningkat, dan turut mengatakan model sedia ada telah pun menunjukkan prestasinya dalam aspek keselamatan penumpang dan mendapat penarafan yang tinggi secara konsisten dalam program penilaian kereta baharu. Beliau juga mengakui prestasi pemanduan dan pengendalian Proton merupakan antara yang terbaik dalam kelasnya.

Walau bagaimanapun, Madani menegaskan walaupun menerima sokongan dari kerajaan, kesemua usaha rancangan, membuat keputusan dan menjalankan semua langkah dalam program transformasi berkenaan perlu dilakukan sendiri oleh Proton. “Berdasarkan hasil dalam berberapa bulan kebelakangan ini, saya masih yakin Proton akan menjadi pemain yang kompetitif dalam pasaran automotif dunia.”

Madani merujuk kepada Proton yang menjadi topik utama dalam berita hampir setiap minggu atas sebab yang betul, bukan sahaja berkenaan model baharu seperti Persona dan Saga, malah berkenaan hala tuju baharu perniagaan mereka.

Walaupun bercampur antara kebenaran dan spekulasi, Madani mengatakan ini adalah petanda rakyat Malaysia masih berminat dengan masa hadapan Proton dan kebanyakkan mereka meramalkan kejayaan Proton pada masa hadapan. Akhir sekali, Madani merumuskan sekarang adalah masanya untuk teruja dengan masa hadapan Proton dan industri automotif.

Jadi, apa pendapat anda berkenaan pandangan CEO MAI ini? Adakah anda turut bersetuju atau berpendapat sebaliknya? Kongsikan pandangan anda pada ruangan komen di bawah.