uber-cash-payment

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang pernah menggemparkan negara kerana menjadi pemandu Uber pada Jun lalu, berpendapat khidmat kongsi kereta sewa seperti Uber dan Grab Car perlu menurunkan bayaran perkhidmatannya bagi membantu pemandu meraih pendapatan lebih lumayan, laporan Bernama.

Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengambil keputusan menjadi pemandu Uber buat seketika hanya mahu merasai “untuk merasai denyut nadi rakyat”, berkata, “Uber mengambil kira-kira 25% sebagai yuran perkhidmatan daripada pemandu. Mereka sepatutnya boleh ambil kurang dari itu.”

Beliau turut berkata, kaedah mendapatkan penumpang menggunakan teknologi dan aplikasi seperti Uber dan Grab Car pastinya membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi biasa.

“Saya memandu kira-kira 11 jam dan melakukan hanya 17 trip dengan mampu mendapat RM210, RM10 daripadanya untuk bayar tol, RM5O diambil oleh Uber (sebagai yuran perkhidmatan) dan tinggal RM150 untuk saya,” ujarnya yang ditemui pihak media semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) 2016.

Ketika itu, beliau memilih Proton Perdana yang baru dilancarkan bagi tujuan amal dan mempromosikan model tersebut, sebaik sahaja penggal perkhidmatannya sebagai senator tamat.

“Pastinya ia tidak dapat dilakukan semasa saya masih menjadi menteri, apa pun ia adalah sesuatu (pengalaman) yang selama ini ingin saya alami. Penggunaan teknologi dan kongsi sewa,” sambungnya lagi.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mendedahkan Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang telah diluluskan kabinet. Secara tidak langsung bakal memberikan permit kepada Uber dan Gbab untuk terus beroperasi.

Walau bagaimana pun, hampir kesemua persatuan pemandu teksi membantah usul tersebut dan menganggap ia mampu menjejaskan industri teksi sedia ada.