2016-Yamaha-Road-safety-3_BM

Banyak pembangunan perlu dilaksanakan di Bentong pada tahun-tahun akan datang, termasuk pembangunan jalan lingkaran luar, jalan central spine dan mungkin juga sambungan rel keretapi ke Kuala Lumpur.

Menurut Ahli Parlimennya, Datuk Seri Liow Tion Lain yang juga Menteri Pengangkutan, perkara ini telah pun diajukan kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan Bentong sebagai salah satu perhentian bagi Jajaran Rel Keretapi Pantai Timur, laporan The Star.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan Jajaran Rel Keretapi Pantai Timur ini bakal dibina sepanjang 550 km dan menghubungkan antara Kuala Lumpur, Kuantan dan Tumpat.

“Rel keretapi ini mungkin bakal melibatkan kos yang agak besar kerana ia membabitkan pembinaan terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa. Namun, ia dilihat suatu keperluan khususnya bagi penduduk di Bentong, kerana bukan sekadar memberikan kemudahan buat mereka, malah mampu lebih menjana ekonomi setempat,” ujarnya kepada pihak media.

Beliau turut berkata, jarak Bentong dengan Kuala Lumpur sejauh 70 km, dengan adanya penaiktarafan kemudahan laluan dan jalan utama, ia mampu mengubah Bentong menjadi bandar satelit. “Malah mereka yang tinggal di Bentong juga boleh terus bekerja di Kuala Lumpur dengan berulang-alik setiap hari.”

Dalam masa yang sama, katanya, memandangkan Bentong semakin popular sebagai lokasi tarikan pelancong, sekaligus membuatkan pekan ini kian sesak terutamanya pada hujung minggu. Justeru, bagi mengurangkan masalah kesesakan, jalan central spine dilihat sangat perlu dibangunkan, malah ia boleh disambungkan dari Bentong terus menuju ke Gua Musang, Kelantan.

“Jalan central spine bukan seperti jalan persekutuan yang digunakan sekarang. Tetapi lebih kepada lebuhraya. Pembinaan ini akan melibatkan pembesaran jalan antara Bentong dan Raub, dan ia dijangka siap hujung tahun ini,” ujar Liow yang mahukan Bentong memiliki pelan pengangkutan yang lebih baik pada masa akan datang.