malaysian-driving-license-001

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron mendedahkan seramai 1.2 juta rakyat Malaysia dikesan layak untuk mendapatkan lesen memandu, tetapi tidak berbuat demikian.

Mengulas lebih lanjut mengenainya, beliau berkata tahap kesedaran yang rendah mengenai kepentingan memiliki lesen memandu, dikenal pasti antara punca utama perkara ini.

Katanya lagi, bagi memberi kesedaran kepada golongan berkenaan, JPJ akan memperkasakan setiap program yang diadakan dari semasa ke semasa.

“Kami dapati kesedaran masih kurang mengenai bahaya memandu tanpa lesen. Lesen memandu ini bukan hanya satu dokumen sah untuk memandu atau menunggang motosikal, malah ia membantu pemilik untuk memandu secara berhemah. Mereka perlu sedar jika berlaku kemalangan dalam keadaan memandu atau menunggang tanpa lesen, JPJ tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Jika pemandu atau penunggang tanpa lesen ini dikesan dan ditahan, mereka bakal berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan.