Renault Megane Sedan – model untuk pasaran global

renault-megane-sedan-53-bm-e1475766256520

Renault telah mengeluarkan lebih banyak maklumat dan imej tambahan bagi model Megane Sedan, yang pertama kali muncul Julai lalu. Ia merupakan model Megane dari generasi keempat, tetapi dengan tambahan bahagian but belakang. Tiada lagi model Fluence selepas ini.

Renault Megane Sedan bakal menjadi model global jenama itu dan akan dibina di kilangnya di Bursa, Turki. 30 negara diseluruh dunia bakal menerima model ini untuk pasaran mereka, 30 negara semuanya.

Ini termasuklah Algeria, Australia, Bahrain, Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Mesir, Estonia, Hungary, Ireland, Israel, Itali, Kuwait, Latvia, Lithuania, Moldovia, Maghribi, Oman, Poland, Qatar, Romania, Saudi Arabia, Serbia, Slovakia, Slovenia, Tunisia, Ukraine dan Emiriah Arab Bersatu.

Bagaimana dengan Malaysia? Setakat ini masih tiada dalam senarai berkenaan. Namun, memandangkan ada negara di dalam senarai berkenaan yang menggunakan pemanduan sebelah kanan, adalah tidak mustahil untuk model berkenaan tiba juga di sini nanti.

Direka serentak dengan Megane versi hatchback dan estate, ia menggunakan pendekatan binaan Renault-Nissan Alliance CMF C/D yang sama dengan model lain Renault, seperti Espace, Talisman dan Koleos.

Binaannya adalah 4,632 mm panjang dan 1,814 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,711 mm; ia nampak tegap, menawan dan sekaligus garang bagi sebuah kenderaan dalam segmen C. Kedudukannya dari permukaan jalan mungkin memberikan kesan ini; jarak legaan dari permukaan tanahnya adalah 136 mm.

Bagi pilihan enjin, ia dimulakan dengan SCe 115, sebuah enjin 1.6 liter dengan kuasa 115 hp dan 156 Nm. Ia digandingkan sama ada dengan kotak gear manual lima kelajuan atau pun automatik CVT Xtronic dari Nissan.

Seterusnya, ada enjin Energy TCe 130 EDC. Ia terdiri daripada enjin 1.2 liter turbo dengan janaan 130 hp dan 205 mm, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau EDC klac berkembar tujuh-kelajuan automatik.

Selain dua enjin berkenaan, terdapat tiga lagi varian enjin diesel yang turut dijadikan sebagai pilihan; 90 hp/220 Nm (6MT), 110 hp/260 Nm (6MT atau EDC enam-kelajuan dengan 250 Nm) dan enjin 1.6 liter (130 hp dan 320 Nm) dengan transmisi manual sahaja.

Antara ciri lain yang melengkapinya adalah saiz ruang barangan yang sangat luas – 550 liter – dan mampu mengekalkan pendekatan rekaan ala coupe. Kemasan krom pada gril, jalur tingkat pada pintu, pemegang pintu serta hujung bahagian ekzos mungkin mencadangkan bahawa ia adalah varian dengan spesifikasi yang paling tinggi.

Dalam ruang kabin, rekaan papan pemukanya mirip yang ada pada model hatchback; skrin sentuh 8.7 inci bagi sistem infotainmen R-Link 2. Turut ditawarkan ialah paparan TFT LCD serta sistem Multi-Sense dengan lima mod pemanduan untuk dipilih; ciri yang sudah pun ditawarkan pada Espace dan Talisman, membolehkan pemandu mengubah antaranya maklum balas dari pedal minyak dan enjin.

Tidak lagi memberi penumpuan sebagai kenderaan yang khusus untuk pasaran Eropah seperti versi hatchbacknya – yang menjadi seteru kepada model Volkswagen Golf – model sedan ini dibangunkan untuk pasaran global dan perlu serasi dengan cuaca dan keadaan di negara-negara di mana ia akan dipasarkan itu.

Untuk memastikan ketahanannya, sedan ini diuji dengan jarak perjalanan sejauh 276,000 km di litar ujian Renault dalam keadaan dan set ujian menyeluruh. Ia bersamaan dengan jarak 828,000 km bagi penggunaan nyata. 24 kenderaan digunakan untuk ujian ini, meliputi jarak sejuta km dalam usaha untuk mengesan sebarang masalah yang mungkin ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required