johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah menyangkal dakwaan terdapat beberapa kenderaan pendaftaran Singapura yang tidak dibenarkan memasuki Kompleks Sultan Abu Bakar di Link Kedua kerana tidak mendaftar dengan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

Menurut Pengarah JPJ negeri tersebut, Mohd Rusdi Mohd Darus, kerajaan Malaysia masih belum melaksanakan sistem VEP. Justeru, dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

“Kita baru saja melaksanakan caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 sejak semalam, tetapi VEP belum dilaksanakan” ujarnya ketika dihubungi oleh News Strait Times.

Sehingga kini, lebih 120,000 kenderaan dari Singapura mendaftar dengan sistem VEP dan dianggarkan 60 peratus daripada satu juta kenderaan yang keluar masuk Malaysia melalui dua pintu keluar masuk dalam tempoh sebulan merupakan kenderaan dari Singapura.

VEP yang dicadangkan pada 2006, sepatutnya bermula pada 16 Julai lalu bagi kenderaan asing memasuki Johor, tetapi telah ditangguhkan sebanyak empat kali sebelum ini.