Toyota Innova baharu dibuka untuk tempahan; Dual VVTi, auto 6-kelajuan, 7 beg udara – anggaran RM109k

new-toyota-innova-main

Toyota Innova terbaharu kini dibuka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia. Berikut ialah perincian serta anggaran harga model MPV lapan tempat duduk berkenaan. Diperkenalkan di Indonesia hampir setahun lalu, Innova generasi kedua (tidak termasuk model Unser dan Kijang di Indonesia) kini tampil lebih premium, terutama di bahagian dalamnya.

Sama seperti model semasa, tiga varian akan ditawarkan dengan harga anggaran seperti berikut; 2.0E MT pada RM109,000, 2.0E AT pada RM117,000 dan 2.0G AT pada RM126,000. Semua harga ini adalah harga atas jalan dan termasuk insurans.

Ia sedikit lebih tinggi berbanding harga Innova sebelum ini, yang dijual pada harga sekitar RM104,000 hingga RM116,000. Bagaimanapun, penawarannya juga lebih nilai tambahan, dan khabarnya hanya 5% komponen yang dikongsi dengan model lamanya.

new-toyota-innova-airbags

Dari sudut saiz, Innova yang kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) adalah lebih besar; 4,735 mm panjang, 1,830 mm lebar dan 1,795 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Berbanding dengan model lama, ia kini 150 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi. Jarak antara rodanya kekal sama. Jika dibandingkan versi dengan spesifikasi sama, ia kini 105 hingga 125 kg lebih berat berbanding sebelumnya.

Enjin sebelum ini, 1TR-FE 2.0 liter petrol kekal, tetapi kini dilengkapi dengan teknologi Dual VVT-i. Ia menjana 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm; 3 PS dan 1 Nm lebih berkuasa berbanding sebelumnya. Model paling asas menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala selebihnya dilengkapi transmisi automatik enam-kelajuan – tiada lagi kotak gear empat-kelajuan.

Seperti dijangkakan, varian dengan enjin diesel 2GD-FTV 2.4 liter dengan kuasa 149 PS dan 359 Nm yang dijual di Indonesia tidak akan ditawarkan di sini. Begitu juga dengan versi paling tinggi, Innova Type Q, dengan rim 17 inci dan lampu utama projektor dengan DRL LED dan enam-tempat duduk juga tidak ditawarkan.

Untuk pasaran tempatan, semua varian akan menggunakan rim 16 inci dan lampu utama halogen projektor. Varian 2.0G ada tambahan lampu kabus hadaan (lampu kabus belakang adalah standard bagi semua varian) dan kemasan krom pada gril depan dan pemegang pada pintu. Ciri cermin sisi boleh lipat dengan lampu serta pengelap cermin depan dengan pemasa boleh ubah hanya untuk model spesifikasi penuh.

Di dalam, Innova 2.0G menggunakan instrumen kluster Optitron dengan MID berwarna, pendingin hawa automatik depan dan belakang, stereng dan tombol balutan kulit, termasuk lampu ambient LED pada bumbung. Kemasan kayu turut ada konsol tengah dan stereng.

Unit radio dengan input USB, Bluetooth dan enam pembesar suara adalah ciri standard bagi semua varian. Pelanggan boleh juga memilih naik taraf kepada unit DVD-AVX (RM2,968) atau DVD-AVN (RM3,816) – dengan skrin sentuh lapan inci dengan sambungan kepada telefon pintar, input HDMI serta kamera undur. Pilihan AVN turut melibatkan tambahan ciri GPS. Dash-cam DVR turut ditawarkan pada harga RM636.

new-toyota-innova-vsc

Masukan tanpa kunci dengan butang Push Start, serta pintu kuasa Easy Closer di belakang turut ditawarkan pada variant tertinggi. Varian 2.0G turut mempunyai perehat lengan, cupholder, ruang barangan dikonsol tengah serta meja boleh lipat dibahagian penyandar kerusi bagi tempat duduk barisan kedua.

Konfigurasi tempat duduk bagi semua varian ialah 2-3-3. Kemasan fabrik hitam dengan nisbah lipatan 60:40 bagi barisan kedua serta nisbah lipatan 50:50 bagi barisan ketiga adalah sebahagian daripada ciri Easy Space Up.

Dari aspek keselamatan, varian 2.0G paling lengkap; tujuh beg udara, Brake Assist (BA), Vehicle Stability Control (VSC) dengan kawalan cengkaman, Hill-Start Assist dan Emergency Stop Signal. Varian 2.0E hanya ada tiga beg udara dan ABS.

Ia juga menerima penarafan lima bintang bagi ASEAN NCAP, walaupun hanya bagi model 2.0G. Jaminan lima tahun tanpa had perbatuan diberikan kepada semua varian.

Toyota Innova Type Q IIMS 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required