dsc_0978-edit_lj

Pada Beijing Auto Show April lalu, enjin Qamfree 1.6 liter turbo yang berfungsi tanpa aci sesondol hasil rekaan FreeValve AB iaitu subsidiari dibawah pembina hypercar dari Sweden – Koenigsegg, hanya diperkenalkan secara ringkas. Namun, pada Guangzhou Auto Show, enjin berkenaan akan dipasangkan pada hatchback Qoros 3 dan kereta berkenaan akan dipandu keatas pentas.

Sebelum ini, pengasas Koenigsegg iaitu Christian Von Koenigsegg telah memperincikan bagaimana enjin berkenaan berfungsi dan juga apa kelebihannya. Secara ringkas, enjin ini berfungsi tanpa aci sesondol dimana kesemua injapnya digerakkan dengan teknologi PHEV, yang membolehkan setiap bukaan injap kemasukan (intake valve) dan bukaan injap ekzos (exhaust valve) dikawal sepenuhnya oleh sistem pengurusan enjin dan digerakkan dengan komponen sistem pneumatik, hidraulik dan elektrik.

Oleh itu, selain dari tanpa camshaft serta kepala silinder yang lebih ringkas tanpa pulley dan timing belt/chain, enjin ini juga berfungsi tanpa throttle body, tanpa wastegate untuk mengawal boost turbo, serta back pressure ekzos kini boleh dikawal bagi memudahkan ia dihidupkan semasa cuaca sejuk. Nisbah mampatan untuk enjin turbo ini juga sangat tinggi iaitu 12:1, membolehkan pembakaran yang efisien dicapai dengan hanya menggunakan sistem suntikan bahan api tidak terus.

Hasil dari kesemua teknologi ini, enjin 1.6 liter empat silinder berkenaan kini mampu menghasilkan kuasa 45% lebih besar dan tork dilonjakkan 47% lebih kuat, memberikan bacaan keseluruhan 240 hp/320 Nm berbanding jumlah asal 160 hp/240 Nm. Kecekapan bahan api pula kini meningkat kepada 15%. Kadar emisi untuk enjin 35% lebih baik dari sebelum ini, dimana ia disumbangkan menerusi sistem penghidup ketika sejuk yang lebih efisien tanpa memerlukan campuran udara dan bahan api yang terlalu ‘rich‘.