toyota-mark-x-2016-fl-850x397-bm

Perincian Toyota Mark X facelift generasi kedua telah didedahkan untuk pasaran Jepun. Kenderaan ini ditawarkan dalam lima varian; paling tinggi 350RDS, diikuti 250RDS, 250S dan 250S Four (pacuan empat roda), 250G/250G Four, dan 250G/250G Four dengan F Package.

Seperti yang dilihat pada namanya, Mark X 350RDS dikuasakan oleh enjin V6 N/A 2GR-FSE 3.5 liter, berkemampuan menghasilkan 318 PS pada 6,400 rpm dan 380 Nm tork pada 4,800 rpm. 250RDS, 250S, 250S Four, 250G dan 250 G Four pula dikuasakan oleh enjin V6 N/A 4GR-FSE 2.5 liter yang boleh menghasilkan 203 PS pada 6,400 rpm dan 243 Nm tork pada 4,800 rpm.

Pada bahagian luar, Mark X facelift ini menerima bampar, gril dan lampu utama yang direka semula. Bagi varian 250S, 250S Four, 250RDS dan 350RDS, lampu tersebut terdiri daripada unit LED bersama lampu siang LED. Rim 16 inci didatangkan secara standard tetapi bagi varian 350RDS dan 250RDS, ia dilengkapi dengan rim 18 inci sementara rim sama juga disediakan sebagai pilihan bagi varian 250S dan 250S Four.

Di dalam pula, varian 350RDS, 250RDS dan 250S menggunakan balutan Alcantara hitam dan merah secara standard dan ia juga diberikan sebagai pilihan bagi varian 250S Four. Kerangka Mark X facelift ini juga diperkuat dengan kimpalan spot welding dan pelekat struktur, dalam masa sama meningkatkan tindak balas pengendalian, cengkaman dan keselesaan.

Pembaharuan paling penting bagi model ini adalah tambahan sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense P untuk semua varian. Sistem ini mengambil masuk kelengkapan seperti radar pandangan hadapan berserta kamera yang boleh mengesan kenderaan dan pejalan kaki supaya dapat mengelakkan perlanggaran di bahagian hadapan.

Sistem brek sebelum perlanggaran juga berfungsi pada kelajuan antara 10 km/j hingga 80 km/j, manakala amaran keluar lorong disokong dengan kamera monokular yang boleh mengesan garisan di atas jalan. Jika kereta keluar dari lorong, pemandu akan diberi amaran melalui bunyi yang dikeluarkan atau paparan di bahagian panel meter.

marx1611_10_s-e1479805308104-850x407-bm

Sekiranya masih tiada tindakan selepas amaran dikeluarkan, sistem stereng kuasa elektriknya akan membawa kenderaan masuk semula ke dalam lorong. Di lebuh raya, radar pengesan bekerja bersama dengan kamera yang ada untuk menghantar informasi kepada sistem adaptive cruise control. Sewaktu kenderaan meluncur dengan sekata, sistem ini akan mengawal pendikit untuk memastikan jarak sentiasa selamat dengan kereta di hadapan.

Jika kereta di hadapan mengurangkan kelajuan, sistem ini akan mengesan perubahan laju dan menutup pendikit bagi mendapatkan pengurangan laju yang diperlukan. Sekiranya kereta perlu dikurangkan lagi lajunya, sistem ini akan mengaktifkan brek untuk memperlahankan Mark X.

Sistem ini juga akan memberitahu pemandu untuk mengelak sekiranya terdapat pengurangan laju yang mendadak oleh kereta hadapan. Jika kereta di hadapan bergerak semakin laju, sistem ini juga akan meningkatkan kelajuan, sehingga tahap yang telah ditetapkan. Operasi sama turut dilakukan sekiranya kenderaan di hadapan menukar laluan dan terdapat ruang kosong.

Toyota Mark X facelift dijual di Jepun pada harga bermula 2,656,800 yen (RM105,866) untuk varian 250G F Package, hinggalah 3,850,200 yen (RM153,419) untuk varian paling tinggi 350RDS 3.5 liter.