toyota-vios-hatch-bm

Mula bocor di internet bulan lalu, Toyota Vios FS hatchback dan Yaris L sedan akhirnya dipertontonkan di Pameran Permotoran Guangzhou 2016. Dua varian terbaharu ini merupakan tambahan kepada penawaran model berkenaan di China.

Sehingga kini, strategi Toyota bagi pasaran kenderaan segmen B di sana sangat mudah. Vios sedan dipasang dan dijual melalui kerjasama dengan GAC, sementara versi hatchback, Yaris L pula dipasarkan melalui FAW Toyota Motor. Maka lahirkan dua varian terbaharu ini; kedua-dua pihak kelihatan seperti ingin diwakili dalam pasaran yang sama antara sedan dan hatchback bagi kedua-dua model.

Secara umumnya, setiap satu daripada varian ini mewarisi rekaan wajah hadapan dan belakang yang bersilang di antara satu sama lain. Pada Vios hatchback, wajah depan baharu ini pertama kali dilihat pada versi sedan facelift ketika Pameran Permotoran Beijing tahun ini. Lampu utama yang direka semula pula disambungkan kepada bahagian gril berbentuk T.

Sementara itu, gril dibahagian bawah adalah lebih lebar, dan bersambung dengan bahagian lampu kabus depan serta lampu nyalaan siang LED. Bahagian belakangnya pula tidak ada perubahan daripada Yaris L facelift, dengan lampu belakang LED dengan lampu isyarat yang lebih tirus, serta bampar rekaan baharu.

Bagi Yaris L sedan pula, ia menerapkan wajah hadapan dari versi hatchback facelift, tanpa bahagian pengalas hitam dari model yang sama. Gril serta lekukan rekaan yang pelbagai memberi sentuhan yang sedikit berbeza padanya. Bahagian belakang pula tidak berubah daripada Vios sedan, dengan lampu LED dan bampar baharu.

Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 1.3 liter dengan output 99 hp dan enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan output 107 hp, seperti Vios sedan dan Yaris L hatchback. Transmisi pula ialah manual lima-kelajuan atau CVT degan mod virtual tujuh-kelajuan.