PANDU UJI: Volkswagen Jetta 1.4 TSI Highline – diperbaharui untuk menjadi lebih cekap, puas dipandu

PANDU UJI: Volkswagen Jetta 1.4 TSI Highline – diperbaharui untuk menjadi lebih cekap, puas dipandu

September lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Volkswagen Jetta facelift 2016, dan ini adalah model pengganti bagi Jetta CKD yang mula dipasarkan di Malaysia pada bulan April 2014. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan Jetta dapat bersaing dalam pasaran menentang model-model baru dalam segmennya seperti Mazda 3 Sedan, Honda Civic dan Ford Focus Sedan.

Pembaharuan yang diberikan pada Jetta facelift ini, selain penampilan, juga termasuk enjin dan transmisi. Oleh itu, VPCM menganjurkan satu sesi pandu uji ulang alik ke Melaka khas untuk wakil media bagi merasakan sendiri bagaimana ia dapat menjadikan model ini lebih baik. Kenderaan yang disediakan semua terdiri daripada varian Highline, iaitu varian tertinggi yang mengatasi Comfortline dan Trendline.

Harga jualan Jetta Highline adalah RM129,578, dan ini sebenarnya adalah sedikit rendah berbanding Jetta CKD yang dulunya dijual pada harga RM130,888, meskipun ia mempunyai lebih banyak kelengkapan. Jika dibandingkan pula dengan pesaingnya, Jetta facelift lebih murah sekitar RM10,000 dan RM2,300 berbanding Ford Focus Sedan dan Honda Civic 1.5 TC Premium, dan lebih mahal RM8,473 berbanding Mazda 3 Sedan.

PANDU UJI: Volkswagen Jetta 1.4 TSI Highline – diperbaharui untuk menjadi lebih cekap, puas dipandu

Volkswagen jarang sekali menggunakan garisan-garisan yang rumit pada rekaan kenderaan mereka. Pengeluar dari Jerman ini lebih gemar memberikan penampilan yang bersahaja dan dalam masa sama masih lagi kelihatan kemas, elegan dan bergaya. Itu juga dilakukan pada Jetta facelift ini.

Untuk model baru ini, terdapat gril, lampu utama dan bampar baru di hadapan dan belakang. Perbezaannya tidaklah sejauh mana dengan model sebelum ini tetapi masih nampak baru kerana grilnya lebih besar manakala bampar yang lebih bersegi dan mempunyai garisan berwarna seperti badan dari hujung ke hujung menjadikan Jetta facelift ini kelihatan lebih hampir dengan Passat yang terletak dalam segmen lebih tinggi. Dari belakang pula, ia semakin hampir kelihatan seperti Audi A4.

Selain itu, bagi varian Highline ini juga, ia dilengkapi dengan lampu utama Bi-xenon, lampu siang LED dan rim 17 inci “Quensland” yang menjadikannya nampak lebih eksklusif. Kedudukannya juga nampak lebih tegap dengan tayar Continental ContiMaxContact MC5 saiz 225/45R17.

Masuk ke bahagian dalam, anda akan disambut dengan tata ruang biasa sebuah Volkswagen, tetapi tiada salah ia dikekalkan kerana kelihatan kemas, berkualiti dan elegan dengan kebanyakan bahagian berwarna hitam dan tempat duduk dibalut dengan kulit Vienna. Baiknya rekaan yang ‘biasa’ ini adalah pengguna mudah menggunakannya kerana setiap butang berada di tempat yang menepati jangkaan.

Bagi Jetta facelift ini, antara barangan baru yang boleh dilihat adalah termasuk roda stereng, yang kini diambil daripada model Golf dengan bahagian bawahnya berbentuk rata dan pada papan pemuka dan tepi pintu terdapat kemasan plastik bercorak seperti kayu.

Selain itu, bagi varian Highline juga, anda akan diberi sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, cruise control, tempat duduk pemandu dengan pelarasan elektronik serta skrin sesentuh lima inci baru dengan sambungan Bluetooth dan MirrorLink. Walaubagaimanapun, skrin ini tidak boleh memaparkan pandangan belakang semasa mengundur kerana tidak dilengkapi kamera dan pemandu perlu bergantung kepada pengesan jarak.

Apa yang juga digemari oleh penulis pada Jetta ini adalah ia mempunyai corong pendingin hawa khas di tengah untuk penumpang belakang, meskipun hanya sebuah kenderaan sedan biasa. Sekaligus, penumpang belakang boleh duduk selesa menikmati perjalanan.

PANDU UJI: Volkswagen Jetta 1.4 TSI Highline – diperbaharui untuk menjadi lebih cekap, puas dipandu

Pembaharuan yang lebih penting pada Jetta facelift ini sebenarnya adalah pakej kuasanya, kerana pertama, enjin 1.4 TSI yang digunakan kini hanya menggunakan pengecas turbo berbanding sebelum ini terdapat pengecas turbo serta supercas manakala kotak gear DSG tujuh kelajuan juga diberikan peningkatan supaya lebih tahan dan mempunyai sistem luncuran (coasting).

Sistem luncuran ini memisahkan klac apabila pedal minyak tidak ditekan dan bertindak seperti anda memasukkan gear ke kedudukan N. Ia sudah berada pada beberapa model lain Volkswagen dan tujuan utamanya, termasuk dengan sistem penjanaan semula kuasa brek dan automatic start/stop sudah tentu adalah untuk penjimatan bahan api.

Penulis boleh memberitahu bahawa dengan sistem ini, ia mungkin boleh mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri kerana ia berfungsi sepanjang masa, tiada kuasa brek enjin (engine braking) dan memberikan momentum yang lebih apabila pedal minyak dilepaskan. Selain itu, juga terdapat sedikit kelambatan apabila anda menekan semula pedal minyak untuk memecut.

Ia dirasakan datang bukan daripada enjin atau sistem turbo, tetapi kotak gear tersebut. Walaubagaimanapun, apabila anda menekan dan melepaskan pedal minyak, tiada sentakan keras yang terasa. Jika anda tidak menggemari sistem luncuran ini, satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan meletakkan gear ke kedudukan manual (+ -). Bagi varian Highline ini juga, ia mempunyai kelebihan dengan adanya pedal penukar gear di stereng.

Sebagai sebuah kenderaan yang membawa nama Volkswagen, kualiti pemanduan Jetta facelift terjamin dan ia mampu melekat atas jalan dengan baik. Ini adalah perkara yang sentiasa memberi kepuasan apabila memandu kenderaan jenama Jerman ini. Dengan itu, kuasa yang dihasilkan oleh enjin 1.4 TSI sebanyak 150 PS dan 250 Nm padanya juga boleh diguna untuk dibawa berseronok melalui jalan berliku.

Walaupun mampu bertahan dengan pemanduan bersemangat, memberikan rasa yang stabil, Jetta facelift masih lagi mempunyai hentakan yang selesa, termasuk bagi penumpang. Bermakna, apabila dipandu santai, penumpang masih dapat duduk selesa tanpa hentakan keras yang mengganggu.

Bagi aspek keselamatan, Jetta facelift 2016 ini dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control. Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan sistem keselamatan yang dipertingkat, termasuk penggera anti-curi bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak ISOFIX.

Harga jualan bagi Jetta varian Highline ini adalah RM128,990 dan pembeli akan menerima jaminan pengilang selama lima tahun bersama bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama.

Untuk mengetahui perbezaan di antara tiga varian yang ditawarkan pada Jetta facelift ini, anda boleh baca laporan pelancaran ini atau lebih baik, anda juga boleh membandingkannya dengan model-model lain di carbase.my

GALERI: Volkswagen Jetta 2016 varian Highline

GALERI: Volkswagen Jetta 2016 varian Comfortline

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required