Suzuki Landy generasi baharu diperkenalkan di Jepun, MPV 8-tempat duduk diasaskan dari Nissan Serena

Suzuki Landy generasi baharu diperkenalkan di Jepun, MPV 8-tempat duduk diasaskan dari Nissan Serena

Suzuki Landy generasi ketiga kini telah diperkenalkan di Jepun dan akan mula dijual bermula 20 Disember ini. Seperti juga generasi-generasi sebelum ini, MPV lapan-tempat duduk berkenaan masih lagi dibina berasaskan dari Nissan Serena.

Rekaan Landy generasi baharu ini kelihatan hampir seiras dengan kembarnya, Nissan Serena generasi kelima yang telah pun mula dijual Ogos lalu. Ia masih mengekalkan lampu hadapan dua tingkat, bumbung kelihatan seperti terapung, garisan bahu badan yang kelihatan ketara bermula dari lampu hadapan bersambung ke rel pintu gelangsar dan berakhir di lampu belakang.

Untuk membezakan Landy dan Serena, gril hadapan V-Motion digantikan dengan gril krom dengan rekaan dua bar dan logo Suzuki serta roda aloi dengan rekaanya yang tersendiri.

Bahagian dalaman Landy juga seiras dengan Serena, menampilkan stereng tiga jejari dan rata di bahagian bawah, paparan instrumen digital lebih lebar berserta paparan berwarna tujuh-inci serta bahagian tengah papan pemuka yang terapung. Dimensi kabin Landy juga sama dengan Serena iaitu 3,240 mm panjang dan 1,545 mm lebar, didakwa terbaik dalam kelasnya.

Suzuki Landy generasi baharu diperkenalkan di Jepun, MPV 8-tempat duduk diasaskan dari Nissan Serena

Tempat duduk barisan kedua Landy boleh digelangsarkan kehadapan dan kebelakang dengan jarak 690 mm. Tempat duduk baris ketiga turut boleh digelangsarkan bagi membolehkan ruang lutut dan ruang kargo belakang dilaras. Ciri praktikal lain yang turut diberikan pada Landy ini termasuk lima-port USB (termasuk dua port untuk setiap baris tempat duduk belakang) dan juga soket kuasa 12V berasingan pada bahagian hadapan.

Varian tertinggi 2.0G menerima pintu gelangsar pada kedua-dua sisi (varian lain hanya pada bahagian kiri), manakala untuk kesemua varian, Landy diberikan suis pembuka pintu di tempat duduk baris ketiga untuk memudahkan penumpang bahagian berkenaan keluar. Pintu tailgate juga boleh dibahagikan kepada dua bahagian dimana bahagian tingkap pintu tersebut boleh dibuka jika hanya barangan kecil dan ringkas mahu diletakkan kedalam bahagian kargo.

Suzuki Landy juga menerima enjin dan transmisi yang sama seperti Serena. Varian asas 2.0S dijana enjin petrol empat-silinder 2.0 liter MR20DD twin-CVT suntikan bahan api terus berkuasa 150 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 200 Nm pada takat 4,400 rpm, dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT, memacu roda hadapan. Padanan ini memberikan penggunaan petrol 15 km/l pada kitaran ujian JC08 Jepun.

Untuk varian lebih tinggi iaitu 2.0X dan 2.0G pula, ia diberikan sistem S-Hybrid dari Nissan yang terdiri dari motor elektrik ECO berkuasa 2.6 PS yang mengawal fungsi auto start/stop pada enjin dan juga berfungsi sebagai pengecas regenerative braking ketika MPV ini menyah-pecut. Motor elektrik 1.8kW/200 A itu juga memberikan bantuan tork ketika ia mula bergerak, dengan tork tambahan 50 Nm dalam masa sehingga satu saat.

Suzuki Landy generasi baharu diperkenalkan di Jepun, MPV 8-tempat duduk diasaskan dari Nissan Serena

Dengan bantuan sistem S-Hybrid ini, versi pacuan roda hadapan mampu mencatatkan penggunaan petrol 16.6 km/l, manakala versi pacuan semua roda (opsyenal) pula mencatatkan penggunaan petrol 15.0 km/l.

Untuk keselamatan, semua varian didatangkan standard dengan sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, sistem pengenalan tanda dilarang masuk, monitor paparan sekeliling dengan pengesan objek bergerak (MOD) dan juga bantuan pengelak pelanggaran yang mengelakkan dari terjadinya kemalangan sekiranya pemandu tersalah memijak pedal.

Varian 2.0G dan 2.0X turut menerima bantuan parkir dan juga beg udara tirai sebagai tamabahan dua beg udara sedia ada. Walau bagaimanapun, kesemua varian Landy tidak menerima sistem pemanduan semi-automatik ProPILOT seperti pada Serena.

Suzuki Landy dijual pada harga 2,500,200 yen (RM94,500) untuk varian 2.0S, 2,721,600 yen (RM102,900) untuk varian 2.0X 2WD serta 2,965,680 yen (RM112,100) untuk versi 4WD. Manakala untuk varian 2.0G pula, ia dijual pada harga 2,961,360 yen (RM112,000) untuk versi 2WD dan 3,248,640 yen (RM122,800) untuk versi 4WD.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required