Toyota Motor North America telah mengumumkan panggilan semula terhadap 97 unit model Toyota 86 2017 pasaran Amerika Syarikat berhubung masalah berkaitan keselamatan.

Masalah berkenaan timbul kerana penyambung dari transmisi automatik ke silinder kunci penghidup dikhuatiri tidak dihubungkan semasa servis pra-penghantaran dilakukan sebelum dijual. Jika perkara ini terjadi, kunci kereta dapat dicabut dari suis silinder pada mana-mana kedudukan gear selain ‘P’.

Ini mungkin akan membawa kepada kemalangan sekiranya pemandu terlupa untuk mengalihkan gear ke kedudukan ‘P’, dan terus manarik kuni dan keluar dari kereta, menyebabkan kereta menggelongsor sendiri.

Model yang dilengkapi sistem kunci pintar dan suis tekan penghidup enjin tidak terlibat dalam panggilan semula ini. Kesemua pemilik yang terlibat akan diberitahu menerusi surat kelas pertama yang menyatakan masalah ini dan meminta mereka untuk menghantar semula kereta masing-masing ke pengedar Toyota bagi memeriksa semula sambungan berkenaan. Sambungan akan dilakukan semula sekiranya perlu, tanpa sebarang pembayaran.