Sedan pacuan roda belakang terbaru Kia GT diberitahu akan membuat kemunculan semasa Detroit Auto Show Januari nanti. Namun, syarikat pengeluar dari Korea tersebut telah mengeluarkan siri video teaser untuk kenderaan ini.

Dalam video pertama, tidak banyak yang dapat dilihar berkenaan kenderaan itu, tetapi ia dilakukan di litar Nurburgring, dengan menunjukkan meter kelajuannya mencapai tahap 244 km/j. Dengan prestasi seperti itu, ia dijangka akan menggunakan enjin V6 3.3 liter twin turbo, yang berkemampuan 365 hp/ 510 Nm tork, dan digunakan pada model Genesis G80.

Dalam video seterusnya, Kia menunjukkan garis luar kenderaan ini, yang dilihat bukanlah seperti sedan biasa, tetapi mempunyai bahagian belakang yang menjunam sebuah fastback, seperti model Audi A7 Sportback. Dari depan pula, ia kelihatan garang dengan di bahagian atas hudnya terdapat dua bonjolan yang jelas.

Di akhir video tersebut, Kia GT dinyatakan bersedia untuk membuat kemunculan pada 8 Januari 2017. Apa pendapat anda dengan model prestasi Kia ini? Adakah ia mampu untuk bersaing dengan jenama Eropah seperti yang diberitahu?