Bagi mereka yang dulu bersekolah di sekolah asrama penuh, nama Coaster pasti akan diingati kerana ini adalah ‘bas mini’ yang banyak mengangkut pelajar jika keluar untuk aktiviti. Nama sebenarnya didapati daripada model terkenal Toyota Coaster yang telah wujud sejak tahun 1969. Model yang ada kini, adalah daripada generasi ketiga dan diperkenalkan pada tahun 1993.

Setelah 23 tahun, Toyota akan memperbaharui Coaster dengan pengenalan generasi keempat yang dibina atas platform baru dan mempunyai lebih banyak ciri keselamatan. Pertamanya adalah kerangka badan yang mempunyai lingkaran pelindung tersembunyi, mampu memberi perlindungan sekiranya terbalik.

Seterusnya, kenderaan ini juga dilengkapi dengan Vehicle Stability Control (VSC) dan beg udara Supplemental Restraint System (SRS) untuk pemandu dan juga penumpang yang berada di hadapan sekali. Bagi tempat duduk lain pula, ia didatangkan dengan tempat duduk tiga penjuru seperti kereta biasa.

Untuk saiznya, Toyota juga memberitahu ruang dalam model baru ini lebih besar dan luas, dan keselesaan penumpang akan dijamin dengan kualiti NVH yang lebih bagus dan pergerakan lebih stabil. Toyota Coaster generasi keempat akan diperkenalkan dalam lima varian dengan jumlah tempat duduk antara 24 hingga 52 orang dan kesemuanya dikuasakan oleh enjin N04C-VJ 4.0-liter. Harganya pula dalam lingkungan 5,940,000 Yen RM226,846 hingga 8,872,200 Yen (RM338,826).