Caterham, jenama British yang sinonim dengan model Seven iaitu kereta sport dua tempat duduk yang diasaskan dari blueprint Lotus Seven, kini dilaporkan berminat untuk membina kereta sport bersaiz penuh dan praktikal.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Bos Caterham, Graham Macdonald kepada Autocar, dan menjelaskan mereka perlu mencari rakan kerjasama dari jenama lain untuk meneruskan projek tersebut. Jika perkara ini berjalan kelak, Caterham akan menggunakan asas model konsep C120 yang direka bersama Renault-Alpine sebelum ini, tetapi terbengkalai setelah Renault membeli semula keseluruhan 50% saham Caterham di dalam Alpine.

Namun, kereta sport baharu Caterham ini akan dibina dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang, berbanding C120 yang direka dengan konsep enjin tengah pacuan belakang kerana kereta berkenaan pada asalnya direka sebagai model jelmaan semula Alpine A110.

Seperti model Seven, projek ini juga akan menggunakan enjin dari pengeluar lain. Kebanyakkan model Seven diberikan enjin dari Ford, tetapi MacDonald menolak kemungkinan model baharu berkenaan dijana enjin EcoBoost Ford kerana Caterham mahu menggunakan enjin tanpa bantuan induksi paksaan.

Projek C120 sebelum ini dilaporkan perlu menelan belanja €75 juta yang dibahagikan antara Caterham dan Renault, namun kedua-dua pihak hanya sempat menyumbangkan €20 juta sebelum ia dihentikan. Oleh itu, Caterham perlu mencari rakan kongsi baharu dan dana bernilai sekitar €50 juta untuk meneruskan projek ini.

Macdonald juga menjelaskan, Caterham telah menerima banyak bantuan teknikal dari Renault sepanjang kerjasama tersebut berlangsung dan Renault bersedia untuk membekalkan alat ganti sekiranya projek ini disambung semula.

Caterham menyatakan kereta sport baharu ini bukanlah model untuk menggantikan Seven walaupun kereta model ikonik tersebut akan berusia 60 tahun menjelang 2017. “Kami mahukan kereta sport dengan badan penuh, kerana apabila kami membawa Seven ke berberapa pasaran penting baharu, mereka tidak memandangnya sebagai sebuah kereta kerana bentuknya,” jelas Macdonald lagi.