Kereta hypercar yang sedang dibangunkan oleh Mercedes-AMG, sebelum ini sekadar dipanggil sebagai ‘R50’, namun kini sudah mempunyai nama iaitu Project One. Nama ini didedahkan melalui laman web Mercedes-AMG, bersama beberapa perincian ringkas kenderaan tersebut, yang sedia untuk mengambil guna enjin Formula 1 serta teknologi lain seperti sistem pemulihan tenaga kinetik (KERS) dan pacuan elektrik.

Pada asasnya, Project One akan menjadi sebuah kenderaan pacuan semua roda, di mana roda belakangnya akan dipacu oleh variasi penghasil kuasa – yang termasuk enjin 1.6 liter twin turbo F1 W07 bersama sistem KERS, dan pacuan elektrik manakala roda hadapan pula oleh motor elektrik.

Menurut ketua pegawai eksekutif Mercedes-AMG, Tobias Moers, enjin lumba F1 ini walaubagaimanapun akan ‘dilembutkan’ sedikit untuk kenderaan produksi, tetapi masih lagi mampu menghasilkan kuasa lebih daripada 1,000 hp. Ini seterusnya meletakkan Project One setara dengan sebuah lagi hypercar yang mengambil inspirasi daripada kenderaan F1 iaitu Aston Martin AM-RB 001 yang sedang dibangunkan bersama Red Bull Racing dan pereka kereta F1, Adrian Newey.

Rupa sebenar Project One masih lagi dirahsiakan, dengan hanya lukisan garis luarannya (tepi dan belakang) sahaja yang dikeluarkan. Ketua bahagian rekaan Mercedes-AMG, Gordon Wagener sebelum ini pernah menyatakan bahawa pandangan tepi kenderaan itu memang akan sama dengan produk akhir nanti, dan ia akan dilengkapi salur udara di bumbung, dan sirip tepi seperti kenderaan prototaip Le Mans.

Laporan menyatakan hypercar ini akan membuat penampilan di Frankfurt September ini, dan ia akan menjadi sebuah model ekskusif, dengan hanya 300 unit dihasilkan.