Sebelum ini, Perodua telah menyiarkan teaser yang mendedahkan sedikit perincian baharu untuk model Axia facelift yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, termasuk ciri-ciri yang diambil dari Bezza iaitu enjin 1.0 liter 1KR-VE yang dilengkapi dengan sistem VVT-i, serta sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin bagi varian Advance dan SE.

Terbaharu, Perodua telah mengumumkan perincian tambahan bagi model kemaskini berkenaan. Untuk kesemua varian Axia, ia diberikan gril hadapan serta bampar dengan reka bentuk baharu, pemegang pintu belakang baharu, grafik fabrik kerusi baharu serta dilengkapi dengan lampu projektor hadapan. Axia Standard-G juga kini didatangkan dengan slot USB bagi memainkan fail audio.

Bagi Axia SE dan Advance pula, ia turut ditambah dengan sistem multimedia dengan ‘Smart Link’ (untuk android sahaja), pemegang pintu luar bersalut krom, roda aloi berbentuk spiral, serta meter kombinasi baharu dengan warna putih.

Untuk harga pula, varian Standard E dijual pada harga RM24,900 (sehingga RM463 lebih mahal berbanding sebelum ini RM24,437-RM24,837), Standard G manual dijual pada harga RM34,900 (sehingga RM2,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM32,127-RM32,527), Standard G automatik dijual pada harga RM36,900 (sehingga RM1,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM35,127-RM35,527).

Beralih ke Axia SE, versi manual dijual pada harga RM37,900 (RM1,263 lebih mahal berbanding sebelum ini RM36,637-RM37,037), manakala untuk versi automatik pula dijual pada harga RM39,900 (model dengan cat solid RM263 lebih mahal tetapi metalik RM137 lebih murah berbanding harga lama RM41,967-RM42,377).

Varian tertinggi Advance pula dijual pada harga RM42,900, sehingga RM1933 lebih mahal berbanding harga lama iaitu RM41,967-RM42,377. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran, serta tiada perbezaan harga untuk model solid dan metalik pada barisan model facelift ini.

Axia 2017 masih mengekalkan warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.

Bagi pelanggan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan model baharu ini, anda boleh mengunjungi karnival ‘MYPerodua Nation’ yang akan diadakan pada hujung minggu ini bermula 20hb hingga 22hb Januari 2017 di AEON Mall Shah Alam (kawasan parkir kereta luar), atau pun mana-mana 182 bilik pameran dan jualan Perodua di seluruh negara. Tempahan untuk Axia facelift ini juga kini telah pun dibuka.