Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) kini mengesahkan, bermula 15 Februariini, semua kenderaan dengan pendaftaran asing akan membayar kadar jalan raya (reciprocal road charge, RRC) yang lebih tinggi, iaitu SGD6.40 (RM20) ketika memasuki pulau itu melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands, seperti dilaporkan oleh Channel News Asia.

Ini mengesahkan laporan awal yang menjangkakan Singapura akan memadankan kadar caj yang dikenakan oleh Malaysia sebanyak RM20, yang dilaksanakan 1 November tahun lalu. Kadar jalan berkenaan akan dikutip bersekali dengan bayaran bagi Vehicle Entry Permit (VEP), tol dan bayaran kadar tetap Electronic Road Pricing (ERP) sebelum keluar dari pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands.

Pengguna boleh membuat pembayaran berkenaan melalui kad Autopass atau CashCard di kiosk imigresen. Mereka yang cuba mengelak daripada membuat bayaran berkenaan akan berdepan dengan saman sebanyak SGD50 (RM156) bagi kesalahan pertama dan SGD100 (RM312) bagi kesalahan berikutnya. Mereka yang gagal menjelaskan saman pula akan didakwa di mahkamah, berdepan dengan saman sehinggar SGD1,000 (RM3,125) atau tiga bulan penjara.

Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan sebelum ini menyatakan negara itu kerap akan memadankan kadar caj yang dikenakan di Malaysia, sekiranya perkara sama dilakukan oleh Malaysia terhadap kenderaan dengan pendaftaran Singapura.