Toyota pamer C-HR, Hiace dan 86 dalam versi TRD

Toyota pamer C-HR, Hiace dan 86 dalam versi TRD

Tokyo Auto Salon lazimnya akan menjadi medan pameran bagi kereta-kereta modifikasi, baik dari pengeluar asalnya atau oleh penggerak-penggerak industri aftermarket di sana. Bagi 2017, Toyota sendiri menunjukkan beberapa unit pendekatan dan konsep baru bagi beberapa model keluarannya.

Ini sangat menarik, kerana ia tidak hanya melibatkan model-model seperti 86 dan C-HR, tetapi turut mempamerkan trak pikap Hilux serta van Hiace dalam “kostum” TRD. Model crossover terini, C-HR mungkin tidak asing lagi dengan modifikasi, kerana kerap tampil kebelakangan ini di dalam beberapa penampilan berbeza.

Kali ini, dua konsep dipertunjukkan; yang pertama dengan penggayaan yang lebih agresif (warna putih), yang menerapkan rekaan bampar depan dan belakang baru, diffuser belakang, lanjutan pada side skirt, spoiler tambahan serta rim hitam yang memberikan imej tersendiri dan garang.

Toyota pamer C-HR, Hiace dan 86 dalam versi TRD

C-HR kedua, dalam penggayaan yang disifatkan ekstrem, tampil dengan pendekatan berbeza. Rim 16 inci dengan kedudukan badan kenderaan sedikit tinggi, dengan lengkung tayar dalam warna hitam serta pelapik lumpur merah menyuntik nilai visual yang tersendiri.

Antara peralatan lain yang ditambah ialah pelapik tempat duduk sporty, sistem suspensi dengan ciri motion control beam, pemantau tekanan tayar, sistem Start/Stop dan pelindung pemegang pintu.

Menarik juga untuk melihat bagaimana Toyota membayangkan van Hiace mereka dalam imej TRD. Tema warna merah, hitam, putih dan kelabu membangkitkan sedikit Hiace dari imej komersial yang kerap dibawanya. Dengan lampu kabus dan lampu LED, bampar depannya juga diberikan sentuhan rekaan baru. Ia turut dilengkapi pelapik lumpur pada tayar, dalam warna merah.

Bagi Toyota Hilux, ia nampak tegap dan bertambah garang dengan skema warna TRD. Tayar untuk kegunaan lasak, corong udara snorkel serta pelapik lumpur pada tayar mengetengahkan lagi gaya off-roadnya. Ruang dalamannya juga diringkaskan, menyerupai jentera yang digunakan untuk pertandingan atau perlumbaan.

Tempat duduk bucket dengan harness di depan, palang roll cage pula melindungi penumpang di belakang. Ruang barangan di belakang juga tidak lagi berlapik; ia dibiarkan kosong, termasuk tiada bampar belakang untuk memberikan imej atau fungsi sama seperti jentera lumba.

Selain itu, model 86 coupe juga menerima penampilan baru; ia sebuah model konsep – Toyota 86 coupe 14R-60 Carbon Concept, dengan bahagian gentian karbon untuk penggayaan ala jentera lumba. Bahan gentian digunakan antaranya pada bampar depan dan fender – seperti yang pernah dilihat pada 86 TRD Griffon Concept.

Ia juga diterjemahkan sebagai sebuah kereta rali di dalam penyamaran 86 TRD Rally Concept4. Yang diubah pada versi ini ialah kombinasi rim, tayar dan ketinggiannya dipilih untuk disesuaikan dengan kegunaan dalam perlumbaan rali.

Versi ini juga disertakan dengan cangkuk penarik pada bampar depan dan belakang. Di dalam, tempat duduk lumba melengkapinya, dengan kedudukan tetap.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required