Mulai 15 Februari ini, semua kenderaan dengan pendaftaran asing yang memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands, bakal dikenakan Caj Jalan Raya Timbal Balas (reciprocal road charge, RRC) yang lebih tinggi, iaitu SGD6.40 (RM20).

Menerusi laporan yang disiarkan oleh Bernama hari ini, Malaysia menghormati keputusan Singapura berhubung perkara tersebut.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Malaysia akan terus berbincang dengan Singapura berhubung keputusannya sebagai timbal balas terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November lalu.

“Singapura memperkenalkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada 1973, kami tidak membalas dan kemudiannya, kami berpendapat kami perlu memperkenalkan caj jalan raya. Dan hari ini (semalam) apabila Singapura mengumumkan mereka mahu mengikut jejak langkah Malaysia berhubung caj jalan raya, kami ingin mereka tahu bahawa kami sebenarnya berbeza namun kami hormati keputusan mereka,” katanya kepada pihak media.

Liow berkata VEP yang diperkenalkan oleh Malaysia hanya memerlukan pemilik kenderaan asing untuk membayar yuran pendaftaran sebanyak RM10 selama lima tahun.

Beliau berkata tiada diskriminasi ke atas kenderaan Singapura memandangkan caj yang sama juga akan dilaksanakan di sempadan Thailand, Brunei dan Indonesia.

Menurut pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), RRC akan dikutip bersama-sama VEP, bayaran tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.