Kes mahkamah berkenaan panggilan semula terbesar membabitkan isu keselamatan dalam sejarah industri automotif – inflator beg udara keluaran Takata Corp – kini telahpun menghampiri penyelesaianya. Reuters melaporkan syarikat Jepun berkenaan telah mengaku bersalah atas dakwaan jenayah yang dilakukan dan bersetuju untuk membayar sejumlah US$1 billion untuk menyelesaikan isu di bawah penyiasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tersebut.

Persetujuan ini telah pun dicapai pada minggu lalu selepas pendakwa-pendakwa di Detroit mendakwa tiga bekas eksekutif senior Takata atas kesalahan memalsukan hasil ujian untuk menyembunyikan kecacatan pada inflator berkenaan, dan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 16 kematian di seluruh dunia, termasuk berberapa kes yang berlaku di Malaysia.

Takata akan membayar saman bernilai US$25 juta, US$125 juta dibayar kepada dana pampasan kepada mangsa, termasuk insiden yang bakal berlaku pada masa hadapan, dan US$850 juta pampasan kepada pengeluar kenderaan untuk menampung kos panggilan semula secara besar-besaran. Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, sehingga kini panggilan semula tersebut telah menjejaskan sebanyak 19 pengeluar kenderaan.

Takata Corp turut perlu untuk membuat perubahan besar dan akan diletakkan di bawah pemerhatian serta akan dipantau oleh pemerhati bebas dalam masa tiga tahun. Penyelesaian ini masih memerlukan kelulusan dari hakim persekutuan di Detroit, dan ia berbeza dari keputusan yang di capai pada 2015, apabila Takata terpaksa membayar sejumlah US$70 juta kepada pentadbir keselamatan auto Amerika Syarikat setelah didapati tidak mengeluarkan notis panggilan semula walaupun mengesan masalah pada inflator beg udara keluarannya.

“Mencapai persetujuan ini merupakan langkah besar dalam menyelesaikan isu inflator beg udara dan merupakan peristiwa penting dalam proses yang sedang berjalan untuk menyelamatkan pelaburan Takata,” kata Shigehisa Takada, pengerusi dan CEO Takata Corp. Syarikat berkenaan “sangat menyesal dengan akibat yang telah terjadi dalam situasi ini dan sentiasa komited untuk menjadi sebahagian dari penyelesaiannya,” tambah beliau.

Dalam perkembangan berasingan, juri persekutuan mendakwa tiga orang eksekutif senior Takata selepas siasatan jenayah yang dijalankan selama dua tahun. Shinichi Tanaka, Hideo Nakajima, dan Tsuneo Chikaraishi di dakwa atas tuduhan konspirasi dalam menyakinkan pengeluar automotif untuk membeli “inflator yang rosak, berkualiti rendah, tidak berfungsi dan berbahaya” menggunakan laporan palsu.

Jabatan kehakiman berkenaan berkata ketiga-tiga rakyat Jepun ini telah digantung tugas pada 2015 dan kini tidak lagi bekerja dengan Takata. Dakwaan tersebut menyatakan ketiga-tiga mereka tahu sekitar tahun 2000 bahawa inflator-inflator berkenaan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pengeluar dan gagal ketika diuji, tetapi mereka menyediakan laporan hasil ujian palsu kepada pengeluar-pengeluar kenderaan.

01_honda_malaysia_mobile_hub_bm

Di Amerika Syarikat, inflator beg udara Takata yang terjejas telah dikaitkan kepada 11 kematian dan 184 kecederaan. Berberapa kemalangan maut yang dikaitkan dengan inflator beg udara yang pecah keluaran syarikat tersebut turut di laporkan di Malaysia, dan kesemuanya terjadi pada kenderaan keluaran Honda.

Honda Malaysia telah sedaya upaya untuk menyeru semua pemilik kenderaan yang terjejas untuk menukar inflator beg udara berkenaan dengan pelbagai usaha, termasuk mewujudkan hab bergerak dan juga servis dari pintu-ke-pintu.

Sehingga Disember 2016, Honda Malaysia mengatakan mereka hanya berjaya menukar 71% dari jumlah keseluruhan kenderaan yang menggunakan inflator beg udara yang terjejas (stok berada pada tahap 100%), dengan kebanyakkan dari pemilik-pemilik berkenaan masih lagi belum memberikan respon terhadap panggilan semula ini.

Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.