MPV Perodua Concept X – tunjuk kemampuan dan kemahiran sebenar pasukan pereka bentuk Perodua

MPV Perodua Concept X – tunjuk kemampuan dan kemahiran sebenar pasukan pereka bentuk Perodua

Sebelum ini, Perodua sering dikaitkan dengan penghasilan model-model ‘rebadge’ dari Daihatsu dan Toyota. Namun, dengan kehadiran Bezza dalam pasaran, membuktikan mereka juga mempunyai pasukan pereka bentuk dan jurutera berwibawa untuk menghasilkan model-model sendiri.

Pada Karnival MYPerodua Nation yang kini sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam hingga 22 Januari ini, Perodua turut mempamerkan model konsep dalam bentuk model skala tanah liat digelar Perodua Concept X. Menurut Perodua, model ini bukan petunjuk pada mana-mana model gantian dalam masa terdekat, tetapi sebagai untuk menunjukkan kemampuan sebenar pasukan pereka bentuk mereka dalam menghasilkan rekaan-rekaan baharu.

Concept X dibina sebagai sebuah MPV kompak seperti Alza, menampilkan rekaan yang sangat futuristik pada bahagian luar dan dalaman. Lampu hadapan direka tirus dan turut menempatkan jalur lampu nyalaan siang LED bina-dalam. Tiada gril utama diberikan, tetapi digantikan dengan jalur berwarna hitam mengubungkan kedua-dua lampu utama. Bampar hadapan direka seakan bentuk bampar Axia Advance sebelum ini, menampilkan gril bawah yang direka lebih lebar di bawah serta liang udara sisi diberikan elemen sarang lebah.

MPV Perodua Concept X – tunjuk kemampuan dan kemahiran sebenar pasukan pereka bentuk Perodua

Pada bahagian sisi, Concept-X menampilkan ruang roda yang agak besar dan juga lebar di bahagian belakang bagi memberikan rupa yang lebih gagah. Ia turut diberikan rim bersaiz besar dibaluti tayar berprofil rendah. Disebalik rim-rim berkenaan, keempat-empat sudut MPV ini diberikan brek cakera serta angkup brek Brembo.

Tiang-D MPV konsep ini turut diberikan warna hitam bagi memberikan kesan seolah-olah bumbungnya terapung. Berbeza dengan Alza atau mana-mana model hatchback Perodua lain, lampu belakang Concept X ini direka melintang dan berbentuk-C. Ia juga turut diberikan kemasan berbentuk bar berwarna merah merentangi pintu tailgate bagi menghubungkan kedua-dua belah lampu.

Keratan rentas pada sisi kiri serta bumbung telus cahaya diberikan pada model skala ini bagi memberikan pandangan jelas pada bahagian dalamannya. Dapat dilihat, papan pemuka Concept-X direka secara minimalis dan bertumpu kepada pemandu. Enam tempat duduk diberikan di dalam kabin, termasuk dua tempat duduk barisan ketiga yang ditunjukkan seperti sudah dilipat.

Selain dari model lengkap ini, Perodua turut mempamerkan model separa siap bersama kelengkapan-kelengkapan yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah model skala tanah liat serta kelengkapan lain yang digunakan untuk menghasilkan lakaran rekaan.

Walaupun dibina hanya untuk tujuan memperlihatkan kemahiran mereka, menurut kakitangan Perodua yang bertugas, sebahagian elemen rekabentuk pada model ini akan diterapkan pada model-model Perodua generasi akan datang. Sebelum ini juga, Perodua telah mengumumkan rancangan lima-tahun mereka digelar “Pelan Transformasi 2.0” yang bermula tahun ini di mana salah satu cabangnya adalah untuk memperkasakan unit R&D dalaman mereka.

Pemerkasaan R&D dalam Pelan Transformasi Perodua sebelum ini telah pun dilihat berjaya setelah pelancaran Perodua Bezza, di mana kerangka, reka bentuk bahagian atas, dan juga berberapa ciri lain model berkenaan dihasilkan sendiri oleh jurutera-jurutera dan pereka-pereka bentuk dari Perodua. Adakah model konsep MPV terbaharu dari Perodua ini mencerminkan visi mereka terhadap pelan transformasi berikutnya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required