Susulan daripada kenaikan kadar caj jalan (RRC) terbaru yang dikenakan oleh Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), pemandu teksi dari Malaysia kini boleh menarik nafas lega.

Menurut laporan Today Online, Singapura telah mengesahkan bahawa caj berkenaan akan dikecualikan terhadap teksi asing yang berdaftar, yang memasuki negara itu. “Caj jalan (RRC) ini tidak dkenakan terhadap teksi dengan pendaftaran luar,” jelas jurucakap LTA. Ini adalah berikutan keresahan pemandu-pemandu teksi di Johor yang perlu membayar S$6.40 (RM20) ketika memasuki Singapura.

Minggu lalu, pengerusi Terminal Teksi Johor Bahru-Singapura, Muhammad Najib Abdul Rahman berkata, pemandu-pemandu teksi ini sepatutnya dikecualikan daripada caj RRC berkenaan, memandangkan teksi Singapura tidak perlu membayar RM20 bagi caj jalan Malaysia yang menjadi bandingan kepada RRC di sana.

“Kami berharap, memandangkan Malaysia mengecualikan teksi Singapura daripada caj jalan berkenaan, Singapura juga memberikan layanan yang sama terhadap teksi dari Malaysia,” jelas beliau. Kadar baru RRC Singapura akan berkuatkuasa 15 Februari ini.

Ia bakal menyaksikan semua kenderaan berpendaftaran luar akan dikenakan caj jalan ketika memasuki Singapura, sama ada dari Tuas mahupun Woodlands. Langkah ini diambil untuk mengimbangi caj jalan yang dikenakan oleh Malaysia bagi kenderaan luar yang memasuki Johor, pada kadar RM20, yang mula dilaksanakan pada 1 November tahun lalu.

Singapura juga sudah menyatakan bahawa republik itu akan menarik balik caj berkenaan sebaik sahaja Malaysia melaksanakan caj jalan yang sama di sempatan Malaysia-Thailand.