Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dikatakan dalam peringkat akhir membangunkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

Jika tiada halangan, kedua-dua sistem berkenaan yang melibatkan pautan ke laman sesawang JPJ bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas mereka, bakal beroperasi mulai April ini, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Ini sistem canggih yang melibatkan kamera litar tertutup dibantu sistem IT untuk mengenal pasti dan mengesan semua pesalah jalan raya dalam masa yang singkat. Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, kompaun, digantung lesen dan akhirnya disenarai hitam akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat,” ujarnya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuhraya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur pagi tadi.

Katanya lagi, walau bagaimana pun, sistem ini masih mengkaji medium yang sesuai untuk memberi notis kesalahan kepada pesalah dan perkara ini akan diumumkan kelak, laporan Bernama.

Sepatutnya sistem berkenaan dilaksanakan sejak Mei tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana mengalami beberapa masalah teknikal dan kekangan akta JPJ.

Malah sebanyak tujuh lagi kamera AES akan dipasang di kawasan yang kerap kemalangan, menambah jumlah sedia ada iaitu sebanyak 14 buah yang telah ada di kawasan terpilih sebelum ini. Liow turut berkata, dengan adanya sistem ini, diharap mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara kita.

Menerusi AWAS, bila disaman, mata demerit akan ditolak bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Sekiranya mencecah 20 mata, lesen pemandu boleh digantung.