Seperti mana yang dilaporkan pada minggu lalu, seorang pakar ekonomi yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group, Datuk Chua Tia Guan meramalkan, harga runcit bagi petrol dan diesel dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang. Ia didorong oleh dua faktor iaitu kenaikan harga minyak mentah di negara kita dan melibatkan kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Perkara ini senada dengan laporan yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini, bahawa harga kedua-dua bahan api tersebut dijangka kekal tinggi pada tahun ini. Di mana ia menyaksikan penganalisis global menaikkan unjuran harga purata penanda aras harga minyak dunia, Brent dan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS).

Harga penanda aras berkenaan masing-masing dinaikkan kepada AS$61.3 satu tong (RM271.16 satu tong) dan AS$59.0 satu tong (RM260.99 satu tong) pada tahun ini. Menurut Bank pelaburan terkemuka Eropah, Natixis, pihaknya menjalankan semakan semula terhadap unjuran harga minyak bagi kedua-dua penanda aras itu bagi suku pertama (Q1) dan kedua (Q2) 2017.

Ia berikutan terdapat pengurangan perbelanjaan modal sejak dua tahun lalu, kos inflasi selain daripada perjanjian pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan pengeluar lain. Pengurangan pengeluaran minyak oleh OPEC dan anggota bukan OPEC bermula 1 Januari 2017, meskipun terdapat pemulihan sederhana dalam pengeluaran minyak AS akan memberi kesan kepada harga minyak global.

Menurut Natixis lagi, pengurangan bekalan minyak pada peringkat global dijangka berterusan sepanjang tempoh separuh kedua tahun ini. Ia mungkin dipengaruhi dua faktor utama iaitu 80% kemungkinan disebabkan pematuhan perjanjian OPEC dan pengeluar lain dan pemulihan sederhana dalam pengeluaran di AS.

“Menurut perjanjian itu, anggota OPEC dan bukan OPEC mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 1.2 juta tong sehari (bpd) kepada 31.96 juta bpd, sementara pengeluaran di AS ialah meningkat sehingga 250,000 bpd berbanding paras siling yang ditetapkan pada 2016,” katanya.

Bagaimanapun, menurut jangkaan bank pelaburan itu, inventori minyak pada tahun ini dijangka meningkat jika usaha mengekang pengeluaran oleh OPEC menemui kegagalan.

“Pada masa sama, faktor kenaikan berterusan bagi minyak mentah dan stok simpanan bahan api AS juga akan menjejaskan keseimbangan harga minyak dunia,” katanya.