Suzuki Ertiga Diesel bakal dipasarkan di Indonesia tidak lama lagi, dan perincian mengenai varian baharu ini, telah pun didedahkan menerusi AutonetMagz, termasuk harga atas jalannya – Rp 220 juta (RM73,000). Buat masa ini, MPV tujuh-tempat duduk ini hanya didapati dengan enjin petrol 1.4 liter, iaitu sama dengan Proton Ertiga yang dijual di Malaysia.

Ertiga diesel bakal diberikan enjin turbodiesel DDiS empat silinder 1.3 liter D13A dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), serta kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda hadapan. Walau bagaimana pun, sistem ‘hibrid’ pada SHVS ini bukanlah sistem hibrid komprehensif seperti pada Toyota Prius mahupun Honda Insight.

Komponen SHVS terdiri dari sebuah bateri 12V berkapasiti tinggi (juga bertindak sebagai bateri utama kereta) serta unit alternator lebih besar digelar Intergrated Starter Generator (ISG) yang bukan sahaja boleh mengecas tenaga elektrik semasa enjin berputar, malah turut boleh bertindak sebagai generator untuk sistem regenerative braking.

Ia turut dipadankan dengan hanya satu pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan, termasuk dengan bateri yang besar. Dengan gabungan padu kuasa ini, sistem ini mampu menghasilkan output sehingga 90 hp dan tork 200 Nm, iaitu kurang satu kuasa kuda dan lebih 70 Nm berbanding enjin petrol. Di India, Ertiga Disel dianggar menggunakan bahan api sekitar 24.52 km/l mengikut kitaran tempatan.

Bagi elemen luarannya, Ertig Diesel, yang mungkin diimport sepenuhnya dari India, adalah lebih kurang sama dengan model petrol, kecuali logo Hybrid pada bahagian belakangnya. Di dalamnya, roda stereng dan tuil gear kuning langsat (model petrol Indonesia berwarna coklat, seperti Proton Ertiga), manakala kekemasan fabriknya pula sama seperti pasaran India.

Kit tambahan lain termasuk cermin pandang belakang anti-silau manual dan nyahkabus belakang, serta fungsi habas panas (mengikut spesifikasi India). Walau bagaimana pun, model diesel Indonesia juga akan menggugurkan beberapa elemen yang terdapat pada model India, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, sistem infotainmen skrin sesentuh dengan Bluetooth dan kamera undur.

GALERI: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015