Siri gambar teaser untuk Pagani Huayra Roadster diteruskan lagi apabila kini, bahagian belakang pula ditunjuk. Dalam gambar ini boleh dilihat perubahan yang diberikan oleh Pagani untuk menghasilkan model bumbung boleh buka, dan di belakang bahagian kokpitnya terdapat ruang enjin yang lebih jelas, bersama bumbung yang boleh dibuka dan lampu baru.

“Dari awal lagi kami sudah meletakkan sasaran yang tinggi. Pertamanya, daripada aspek teknikal, adalah untuk menghasilkan roadster yang lebih ringan daripada model coupe, yang mana sudahpun merupakan hypercar paling ringan,” kata Horacio Pagani. “Kami juga berharap usaha selama enam tahun ini akan memberi kesan kepada anda, secara rasional dan emosional,” tambah beliau.

Huayra versi hardtop mempunyai berat hanya 1,350 kg, dan apabila Pagani mendakwa versi roadster akan menjadi lebih ringan, ia boleh menunjukkan bahawa Huayra cukup tegap sehingga tidak memerlukan bahagian sokongan untuk menguatkan kembali badan tanpa bumbung.

Bos Pagani juga mendedahkan bahawa teknologi daripada Huayra BC akan diserap ke dalam roadster ini. Turut boleh dijangka adalah peningkatan kuasa pada enjin AMG 6.0 liter V12 bi-turbo yang digunakan. Pada Huayra BC, enjin ini menghasilkan 750 hp dan 1,000 Nm tork.

GALERI: Pagani Huayra Coupe