Laman sesawang UMW Toyota Motor telah memaparkan kemunculan Hilux edisi istimewa digelar Toyota Hilux 2.4G Limited Edition. Trak pikap berkenaan diasaskan dari Hilux varian 2.4G dan diberikan kelengkapan dan rupa yang lebih lasak.

Dalam laman tersebut, tidak dinyatakan pilihan warna yang diberikan, jadi dianggap trak pikap ini hanya hadir dengan warna putih seperti yang dipaparkan, serta diberikan serlahan berwarna hitam. Hud enjin Hilux edisi terhad ini diberikan jalur hitam, manakala bumbung, penutup cermin sisi serta kemasan lampu turut diberikan warna yang sama. Emblem ‘Limited’ juga ditempatkan pada pintu tailgate.

Bahagian-bahagian krom pada Hilux 2.4G standard turut dihitamkan pada model edisi terhad ini, meliputi gril hadapan, penutup lampu kabus, kemasan lampu hadapan serta kemasan hud. Model LE ini juga dberikan kemasan over fender pada setiap ruang roda serta pelindung bawah pada bampar hadapan untuk rupa yang lebih gagah. Rim juga diberikan warna kelabu gelap untuk melengkapkan rupanya.


Klik untuk besarkan

Tiada perubahan lain mahupun tingkat taraf untuk bahagian dalaman dinyatakan. Toyota turut menyebut Hilux edisi terhad ini ditawarkan “pada masa terhad, stok terhad” serta harga atas jalan dengan insuran “hanya bermula pada RM126,000”. Sebagai perbandingan, Hilux 2.4G Automatik 4×4 standard dijual pada harga RM121,900, bermaksud model istimewa berkenaan dijual RM4,100 lebih mahal.

Bahagian mekanikal juga kekal tanpa perubahan di mana Hilux edisi terhad ini masih menggunakan enjin turbo diesel 2.4 liter berkuasa 150 hp pada takat 3,400 rpm dan juga tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan. 2.4G versi standard juga diberikan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pemain audio utama dengan skrin sesentuh 6.1 inci, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri kulit, tiga beg udara, VSC, dan juga pelbagai lagi ciri-ciri lain.