Susulan kerajaan telah meminta perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride dihentikan serta-merta, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengekang perkhidmatan teksi motosikal kerana tidak diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada.

Katanya, isu ini perlu dibincangkan dalam sidang parlimen akan datang, laporan Bernama.

“Motosikal tidak termasuk dalam senarai pengangkutan awam yang membawa penumpang bagi tujuan meraih pendapatan,” katanya kepada pemberita semalam.

Pada masa sama, Syed Hamid mengingatkan pengusaha teksi motosikal berkenaan agar bersedia menghadapi tindakan undang-undang kerana beroperasi tanpa lesen.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada syarikat perkhidmatan ‘Dego Ride’ agar tidak mencabar undang-undang negara setelah diarahkan menghentikan perkhidmatan tersebut atas faktor keselamatan.

Katanya, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPAD akan melancarkan operasi penyamaran bagi membanteras perkhidmatan teksi motosikal itu.