Pada tahun 70-an, Lotus ada mengeluarkan sebuah model yang dinamakan sebagai Esprit S1, dan ia menjadi lebih terkenal apabila membintangi filem James Bond The Spy Who Loved Me pada tahun 1977 dengan ciri unik boleh bertukar menjadi kapal selam. Kini selepas 40 tahun, syarikat itu mengeluarkan sebuah model peringatan khas iaitu Evora Sport 410.

Kereta ini tidaklah boleh menyelam, tetapi mengambil semula konsep rekaan yang ada pada Esprit S1 seperti tona warna, penutup but belakang satu unit gentian karbon dan garis kemasan hitam. Seperti Esprit S1 juga, kenderaan ini mempunyai lencana khas di tepi B-pillar.

Pada bahagian dalam, Evora Sport 410 mewarisi kemasan panel tartan pada tempat duduk gentian karbon serta panel pintunya, bersama jahitan benang merah pada papan pemuka dan konsol yang dibalut dengan Alcantara.

Model ini didatangkan dengan enjin 3.5 liter supercharge, mampu menghasilkan sebanyak 410 hp dan 420 Nm tork. Ia juga dijadikan lebih ringan berbanding Evora 400 biasa yang dijual sebelum ini.

“Ramai yang masih mengingati kesan daripada Lotus Esprit apabila pertama kali ia muncul dalam filem The Spy Who Loved Me, dan kami ingin memberikan penghormatan kepadanya dengan pengeluaran Evora Sport 410. Ia adalah satu model peringatan yang cukup sempurna, tetapi masih banyak berbeza daripada aspek kemampuan dan prestasi,” kata ketua pegawai eksekutif Lotus, Jean-Marc Gales.