Minggu lalu, UMW Toyota Motor telah mengumumkan Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad kini berada di pasaran Malaysia. Lihat sahaja foto-foto di bawah ini, ternyata penambahan aksesori luaran bagi trak pikap yang menggunakan asas Hilux 2.4G AT, kelihatan lebih garang dan bergaya.

Hanya didapati dalam warna Super White II, model edisi terhad menerima kit luaran yang agak kontras, termasuk pakej grafik yang merangkumi jaluran hitam pada bonet, tailgate dan sisinya. Juga bersama pelekat dengan efek gentian karbon dan bumbung berwarna hitam untuk tiang-B.

Perumah cermin sisi juga berwarna hitam, sementara gril dicat dengan warna kelabu metalik berkilat. Ia turut dipadankan dengan bumper guard, bahagian pelindung lampu kabus, kemasan akhir pada bonet dan di sekeliling lampu kabus, dengan tona warna kelabu gelap. Begitu juga dengan sambungan dapra hitam, serta rim bersaiz 17-inci dengan warna kelabu.

Tiada perubahan bagi bahagian dalaman, jadi elemennya masih sama dengan model standard 2.4G AT, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lapisan cermin Premium Security & Solar Film, lampu dan bilah pengelap cermin auto, tempat duduk pemandu dengan laman-cara pelarasan, kulit upholstery, perakam video digital, sistem infotainmen skrin sesentuh 6.1-inci, kamera undur dan enam-pembesar suara.

Ia juga masih mengekalkan enjin yang sama dengan model standard iaitu 2.4 liter 2GD-FTV baharu yang digunakan menjana kuasa sehingga 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm antara 1,600 dan 2,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke sistem pacuan empat-roda. Bagi keselamatan, ia dilengkapi dengan tiga beg udara ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX.

Ia kini dibuka untuk tempahan pada harga RM126,000 dan mula berada di bilik pameran Toyota seluruh negara sejak 17 Februari lalu.