Perincian pertama mengenai Honda CR-V 2017 spesifikasi Thailand telah pun dipaparkan di laman forum Headlight Magazine. Jika informasi ini betul, generasi kelima SUV ini, yang dikesan diuji di Thailand, dijangka bakal diperkenalkan pada hujung Mac ini di Bangkok International Motor Show 2017.

Bukan itu sahaja, CR-V 2017 ini dikhabarkan bakal ditawarkan dengan enjin turbodiesel buat pertama kalinya – enjin 1.6 liter i-DTEC empat-silinder yang pernah diperkenalkan bagi model facelift generasi terdahulu, mampu menghasilkan kuasa sehingga 160 PS pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm pada 2,000 rpm. Tidak seperti enjin CR-V yang lain, yang menggunakan CVT, penjana kuasa diesel ini akan dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan seperti sebelumnya.

Selain diesel, CR-V baharu di Thailand juga akan menawarkan enjin petrol yang sama seperti di Amerika Syarikat. Ini termasuklah 1.5 liter turbo, yang ditawarkan buat pertama kalinya pada CR-V; sedikit tinggi berbanding Civic FC. Dengan ciri suntikan terus DOHC ia menghasilkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Turut ditawarkan ialah enjin 2.4 liter i-VTEC suntikan terus, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm.

Ia turut direka semula untuk bahagian luaran dan dalaman, CR-V baharu ini lebih praktikal berbanding sebelum ini, dengan jarak roda yang lebih panjang – 2,660 mm vs 2,620 mm – memberikannya ruang kabin yang lebih besar. Selain itu, ia ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), yang bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan pendekatan gaya Solid Wing Face yang sama dimiliki oleh model-model terbaharu Honda, seperti Civic.

Ruang dalamannya juga diberikan ciri yang lebih premium; panel instrumen dengan skrin berwarna, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga dilengkapi penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa ciri tambahan.

Ia turut menerima ciri keselamatan termaju Honda Sensing dan bantuan pemanduan. Ciri ini merangkumi fungsi-fungsi seperti berikut; Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning (LDW) dan Adaptive Cruise Control (ACC). Walaubagaimana pun, tidak dipastikan adakah kesemua elemen terbabit turut ditawarkan untuk pasaran ASEAN.

GALERI : Honda CR-V 2017